Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kategori baru Anugerah Pena Emas galak penghasilan karya terjemahan yang baik

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tarikh tutup penyertaan sayembara dwitahunan penulisan kreatif di Singapura, Anugerah Pena Emas (GPA) dilanjutkan kepada 6 petang 23 Jun ini.

Arts House Limited memberitahu BERITAMediacorp bahawa pihaknya memutuskan untuk lanjutkan tarikh penghantaran disebabkan maklum balas yang diterima daripada para peserta yang memerlukan lebih banyak masa untuk menghasilkan kualiti kerja yang lebih sempurna dan baik untuk disertakan dalam Anugerah Pena Emas 2023.

Dengan lanjutan itu, mereka mempunyai tambahan 10 hari daripada tarikh tutup asalnya, 13 Jun.

Ini lebih-lebih lagi dengan dua komponen baru yang diperkenalkan tahun ini.

KOMPONEN BARU BAGI KEKAL RELEVAN

Menurut penganjur, Arts House Limited, usaha tersebut bagi memastikan sayembara yang sudah dianjurkan sepanjang 30 tahun itu kekal relevan.

"Kami selalu meneliti cara-cara untuk mengembangkan sayembara ini agar kami kekal relevan dan kami telah menerima permintaan daripada orang ramai agar lebih banyak kategori diperkenalkan," jelas jurucakap Arts House Limited (AHL), Martini Ali Wafar.

(Gambar: Nurfazirah Azman)
Akur dengan permintaan itu, lagi satu kategori diperkenalkan dalam edisi ke-16 ini iaitu kategori 'Terjemahan: Cerpen'.

Ia dibuka kepada peserta yang menterjemah karya-karya yang asalnya ditulis dalam bahasa ibunda kepada bahasa Inggeris.

Kategori baru itu diharap dapat meluaskan lagi akses kepada karya-karya itu.

"Ia bertujuan untuk menggalak terjemahan buat cerpen yang asalnya ditulis oleh penulis Singapura dalam Bahasa Cina, Melayu dan Tamil ke Bahasa Inggeris. Ini akan membuatkan karya-karya tempatan dalam tiga Bahasa ini, mencapai pembaca-pembaca baru dan juga memupuk pemahaman silang budaya yang lebih luas," kata Cik Martini Ali.

Mereka yang berminat boleh mencalonkan karya terjemahan mereka sebelum 23 Jun ini.

Selain membawa pulang wang tunai berjumlah S$6,000 , sijil dan trofi, para pemenang GPA juga berpeluang menjalani program bimbingan.

Di bawah komponen kedua yang baru ini, pemenang berpeluang mendalami lagi kemahiran menulis karya mereka selama empat hingga enam bulan yang dikelolakan penulis-penulis mapan dan berpengalaman dari masyarakat sastera di Singapura.

"Matlamat program bimbingan ini ialah untuk membantu para pemenang memperhalusi karya-karya mereka dan juga memberikan mereka peluang untuk memperluaskan kemahiran menulis mereka," kata Cik Martini.

PERCUBAAN KETIGA MEMBUAHKAN HASIL, PEMENANG GPA SYUKUR TIDAK PUTUS ASA

Inisiatif baru ini amat dialu-alukan para pemenang dalam edisi GPA yang lalu.

Antaranya ialah Encik R Azmann A Rahman yang menjuarai kategori puisi dalam GPA 2021.

Menurut beliau, kemenangannya itu memang tidak diduga.
(Gambar: Nurfazirah Azman)

"Memang pada waktu itu, ia sesuatu yang tidak dijangkakan sebab tahun 2021 bila saya ambil bahagian, itu merupakan percubaan saya yang ketiga. Apabila saya mendapat panggilan telefon, saya sebenarnya lupa (saya ambil bahagian) jadi apabila saya mendapat berita itu, saya sangat gembira," kongsi Encik R Azmann kepada BERITAMediacorp.

Berkat usaha gigih Encik R Azmann, percubaan ketiganya akhirnya membuahkan hasil.

"Saya pernah mengambil bahagian pada 2017, 2019 jadi saya cuba lihat semula apa perbezaan ataupun apa yang perlu dipertingkatkan lagi dan dimurnikan lagi," kata beliau.

z

Namun kemenangan itu tidak datang begitu sahaja. Antara cabaran yang dihadapinya termasuk membahagikan masa antara kerjayanya sebagai seorang guru.

"Membahagikan masa antara kerjaya dan penulisan kreatif juga sesuatu cabaran tentunya. Mujurnya kerana saya seorang guru Bahasa Melayu jadi walaupun saya mengajar, jadi sikit lebih kurang ia berkaitan dengan hobi saya iaitu menulis," kata Encik R Azmann.

Beliau juga memberi kata-kata perangsang dan nasihat kepada mereka yang berminat untuk menyertai GPA tahun ini.

"Saya rasa bagi mereka yang minat untuk menceburi dalam bidang penulisan ini, yang penting adalah minat, keyakinan dan usaha yang tidak putus," nasihat beliau.

Encik R Azmann berazam untuk membukukan karya-karya puisinya untuk dikongsikan kepada para peminat seni kesusasteraan di Singapura dan rantau ini.

Dalam GPA tahun ini pula, Encik R Azmann akan menyertai kategori cerpen pula.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan