Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kata dua kepada pembantu rumah hamil di SG: Gugurkan kandungan atau hilang kerja

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ketika Vinny (bukan nama sebenar) mendapati dirinya hamil, suami beliau berharap anak dalam kandungannya itu seorang bayi perempuan.

Namun bagi Vinny sendiri, apa yang terlintas di fikirannya ialah "perlukah saya ambil pil untuk menggugurkan kandungan ini?"

Sebagai seorang pembantu rumah hijrahan di Singapura, Vinny berdepan risiko dihantar pulang ke negara asalnya, Filipina, dan dilarang terus bekerja di Singapura jika didapati hamil, kerana melanggar syarat permit kerja.

Ini menjejas upaya beliau untuk menyara hidup keluarganya, kata Vinny yang sudah mempunyai dua anak lelaki.

Pemegang permit kerja tidak dibenarkan hamil atau bersalin di Singapura kecuali mereka sudah berkahwin dengan warga Singapura atau penduduk tetap dengan kelulusan Kementerian Tenaga Manusia (MOM). Ia tetap berkuat kuasa meskipun selepas permit kerja mereka sudah tamat tempoh atau dibatalkan.

Menurut MOM, antara 2019 dengan 2021, purata 170 pembantu rumah hijrahan dikesan hamil setiap tahun.

Tetapi jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

KERANA TERDESAK

Peraturan di Singapura begitu ketat sehinggakan majikan dikehendaki melaporkan kehamilan pembantu mereka kepada pihak berkuasa.

Walaupun jika majikan memilih untuk menutup mulut, pembantu rumah hijrahan mesti menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan untuk diuji jika mereka hamil.
Pembantu rumah hijrahan mesti menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan.
Keputusannya diserahkan kepada MOM.

Ia bertindak sebagai "langkah kawal selia" untuk mengingatkan pekerja bahawa "jika anda hamil, anda akan dikesan dalam tempoh enam bulan sebelum bayi anda siap dilahirkan ", kata ahli sosiologi Laavanya Kathiravelu.

Bagi Vinny, beliau sedar keadaanya hanya menunggu masa untuk dikesan.

Justeru, beliau berterus terang dengan majikannya ketika hamil dua bulan dan dihantar pulang tanpa kehamilannya dilaporkan kepada MOM.

"Dia membantu saya supaya bila-bila masa saya mahu kembali, saya boleh datang semula dengan mudah," kata Vinny, yang melahirkan bayi perempuannya beberapa tahun lalu dan telah kembali bekerja di Singapura.

Namun, tidak semua pekerja yang mempunyai majikan seperti Vinny.

Bagi yang terdesak, mereka sanggup mengambil risiko menjalani prosedur haram untuk elak dikesan.

Seorang pemandu teksi memberitahu Undercover Asia mengenai pekerja hijrahan dari Singapura yang datang ke Batam untuk menggugurkan kandungan mereka secara haram.

Mengikut undang-undang Indonesia, pengguguran dibenarkan hanya dalam keadaan yang jarang berlaku, seperti kecemasan perubatan serta kes janin tidak normal dan dalam tahap bahaya.

Bagaimanapun, tambah beliau prosedur pengguguran "berleluasa" dilakukan di Batam.

Bagi pekerja hijrahan yang tidak mahu mengambil risiko sedemikian atau tidak boleh meninggalkan Singapura, terdapat pasaran gelap untuk membeli pil gugur di platform online. Namun, terdapat banyak maklumat salah tentang ubat-ubat tersebut, yang sepatutnya hanya boleh diperolehi daripada doktor.

Ironinya pengguguran dibenarkan dari segi undang-undang di Singapura, temasuk bagi pekerja hijrahan.

Doktor juga terikat dengan kerahsiaan pesakit dan "tidak dikehendaki oleh undang-undang untuk melaporkan sebarang pengguguran", kata pakar sakit puan Kenneth Wong.

Bagaimanapun kos prosedur tersebut yang menelan belanja antara S$750 hingga beribu-ribu dolar secara keseluruhan, bergantung kepada sebarang komplikasi dan jenis hospital, adalah sesuatu yang tidak mampu dibayar oleh pembantu rumah dengan purata gaji S$620 sebulan.

 
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan