Skip to main content

Singapura

Kastam SG beri amaran 2 tipu helah baharu libatkan penghantaran bungkusan

Kastam Singapura memberi amaran pada Rabu (3 Dis) mengenai dua jenis penipuan bungkusan baharu yang muncul dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Anggaran Waktu Membaca:
Kastam SG beri amaran 2 tipu helah baharu libatkan penghantaran bungkusan
Dokumen palsu yang digunakan penipu dalam dua jenis penipuan baharu melibatkan bungkusan Kastam. (Gambar: Kastam Singapura)
SINGAPURA: Kastam Singapura memberi amaran pada Rabu (3 Dis) mengenai dua jenis penipuan bungkusan baharu yang muncul dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Penipuan itu melibatkan para penipu yang menyamar sebagai pihak Kastam atau pegawainya untuk memperdayakan mangsa supaya membuat bayaran atau mendedahkan butiran perbankan.

Dalam jenis skim penipuan pertama, para penipu yang menyamar sebagai Kastam Singapura akan menghantar emel kepada mangsa daripada sebuah akuan Gmail, untuk memaklumkan kepada mereka bahawa bungkusan milik mangsa ditahan atas sebab ketidakpatuhan.

Satu notis pemeriksaan palsu dilampirkan pada emel tersebut, yang meminta si penerima supaya hadir untuk memeriksa bungkusan itu di lapangan, yang dijadualkan beberapa hari selepas emel itu dihantar.

Notis itu akan dikaitkan secara palsu kepada ahli pengurusan kanan Kastam.

Si penerima itu juga akan diberikan tawaran alternatif untuk menghadiri pemeriksaan itu secara fizikal.

Ini bagi membayar "yuran pengesahan" ke sebuah akaun bank di Malaysia dengan janji bahawa bungkusan berkenaan akan dilepaskan selepas pembayaran dibuat, dan bayaran penuh dipulangkan selepas itu.

Menjelang tarikh akhir pembayaran, si penipu akan menghantar emel susulan dengan ancaman untuk "memaklumkan perkara itu kepada polis Malasyia" berhubung "kontraban atau rokok tidak dibayar cukai" jika mangsa gagal membayar yuran itu.

"Beberapa mangsa penipuan yang menghubungi Kastam bagi mengesahkan kesahihan emel dokumen itu mempunyai nombor telefon berdaftar di Malaysia," menurut agensi tersebut.

Dalam jenis skim penipuan kedua, para penipu yang berpura-pura sebagai pegawai Kastam akan menghantar mesej WhatsApp kepada mangsa, sambil mendakwa jongkong emas berdaftar di bawah nama mereka kini ditahan oleh Kastam.

Si penipu kemudian akan menghantar kepada mangsa gambar jongkong emas itu dan sebuah dokumen palsu yang mengandungi logo lama Kastam dan butiran penghantaran palsu.

Mangsa kemudian disuruh membuat bayaran untuk melepaskan jongkong emas itu atau jongkong-jongkong emas itu akan segera dirampas, tindakan penguatkusaan bagi "cubaan mengelak imigresen" dan "semua penghantaran di masa depan disenarai hitam".

“Kami memandang serius penipuan seperti ini kerana ia menjejaskan kepercayaan awam terhadap Kastam Singapura,” kata agensi itu.

Pihak Kastam menegaskan ia tidak akan meminta bayaran untuk melepaskan bungkusan, dan perhubungan rasmi agensi itu hanya dihantar melalui alamat emel yang menggunakan domain @customs.gov.sg.

Pegawai pemerintah juga tidak akan meminta wang atau maklumat bank melalui panggilan telefon, mesej teks atau emel, tambah agensi tersebut.

“Kastam tidak membuat perhubungan rasmi melalui akaun emel peribadi, WhatsApp atau platform mesej yang lain, mahupun media sosial,” tegas agensi tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita