Skip to main content

Singapura

Kasih Sayang Bapa: Zafarudin Zahid jadi sandaran anak, jaga isteri lawan barah biarpun bergelut masalah jantung

Bukan mudah untuk menerima hakikat bahawa insan tersayang disahkan menghidap barah — apatah lagi jika insan itu adalah isteri sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:
Kasih Sayang Bapa: Zafarudin Zahid jadi sandaran anak, jaga isteri lawan barah biarpun bergelut masalah jantung

Encik Zafarudin Zahid (paling kanan) bergambar bersama isterinya, Cik Nani Hartini Mohthar dan anak-anaknya, Al-Haziq (paling kiri) dan Al-Thaqif. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syazwani Sanep)

SINGAPURA: Bukan mudah untuk menerima hakikat bahawa insan tersayang disahkan menghidap barah — apatah lagi jika insan itu adalah isteri sendiri.

Namun, Encik Zafarudin Zahid reda menerima takdir itu dan cuba tampil cekal agar dua anak lelakinya tidak berasa terlalu terbeban menghadapi ujian tersebut.

Namun, siapa sangka, dugaan datang bertimpa. Hanya beberapa hari selepas isterinya selesai menjalani pembedahan mastektomi — pembuangan kedua-dua payudaranya, Encik Zafarudin pula diserang sakit jantung. Ia sekali gus menambah berat dugaannya.

Ketika terbaring di atas katil di bilik pembedahan bagi menjalani prosedur pemasangan ‘stent’, fikirannya hanya tertumpu pada keadaan isterinya yang sedang pulih - dan bagaimana anaknya dapat mengharungi situasi di mana kedua-dua ibu bapa mereka sedang terlantar sakit.
Related article image
Encik Zafarudin Zahid, Cik Nani Haritini dan Al-Haziq ditemui BERITA Mediacorp di kediaman mereka. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syafeera Sofian)
Kasih sayang sang bapa ini jelas tiada tolok bandingnya...

"KALAU APA-APA BERLAKU, JAGA ANAK DAN ISTERI SAYA"

Sejak usia 30-an tahun lagi, Cik Nani Hartini Mohthar menjalani pemeriksaan mamogram secara berkala. Namun, pada tahun 2020, beliau disahkan menghidap barah payudara tahap 2 ketika menjalani pemeriksaan rutin.

"Kalau istilah barah sahaja, saya selalu fikir tentang kematian. Fikiran saya seperti (berkecamuk) ... Tapi saya tidak pernah fikirkan tentang isteri saya," kata Encik Zafarudin penuh sebak kepada BERITA Mediacorp.

"Itu kesilapan yang saya lakukan. Kemudian, saya mula sedar saya bukan orang yang menderita sakit itu, (tapi) isteri saya," jelasnya.

Encik Zafarudin, kini 55 tahun, akur beliau tidak mempunyai masa untuk melayan perasaan sedih.

Jauh di lubuk hatinya beliau masih bergelut dengan kenyataan itu, namun Encik Zafarudin tetap tampil tenang di hadapan anak-anaknya agar mereka tidak risau, apatah lagi beliau merupakan tulang belakang keluarganya.

"Saya bercakap dengan anak-anak lelaki saya: "kita akan laluinya sebagai satu keluarga. Kita akan lakukan satu langkah demi satu langkah."

Demi meringankan beban ditanggung isterinya, Encik Zafarudin, yang ketika itu bertugas sebagai seorang pengurus penyenggaraan di SMRT, mengambil alih semua tugas rumah tangga - dari memasak hingga mencuci pakaian.

"Pada waktu itu, memang saya tak larat nak bangun daripada katil. Lagi-lagi, kalau macam lepas kemoterapi. Alhamdulillah, suami saya uruskan segalanya. Dan dia sebagai seorang bapa cuba nak jelaskan situasi kepada dua anak lelaki kami," ujar Cik Nani, yang bertugas sebagai pendidik sokongan pembelajaran kanan di sebuah prasekolah tempatan.

Tiga bulan selepas didiagnosis, Cik Nani akhirnya menjalani pembedahan mastektomi. Segala pesiapan untuk pemulihannya di rumah diatur rapi oleh Encik Zafarudin.

Ibarat jatuh ditimpa tangga.

Encik Zafarudin pula diserang sakit jantung, selang tiga hari selepas isterinya dibenarkan pulang menyusuli pembedahan itu.

"Sudah tentu, fikiran saya memikirkan bagaimana dua anak lelaki saya dapat menghadapi keadaan isteri saya," kata Encik Zafarudin, yang kini merupakan seorang pensyarah di Kolej Barat Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Manakan tidak, anaknya hanya berusia 16 dan 18 tahun ketika itu.
Related article image
Al Haziq (paling kanan) berusia 18 tahun dan Al Thaqif (kedua dari kiri) pula berusia 16 tahun ketika ibunya disahkan menghidapi barah payu dara dan bapanya mengalami serangan jantung. (Gambar: Zafarudin Zahid)
"Saya menelefon abang saya, saya beritahu, "Kalau apa-apa berlaku kepada saya, jaga dua anak lelaki saya dan isteri saya. Isteri saya baru selesai pembedahan. Jadi satu-satunya yang boleh saya lakukan adalah serah kepada Allah. Kalau betul-betul ini masa saya untuk pergi, saya reda saja," jelas Encik Zafarudin.

Encik Zafarudin sibuk membuat aturan agar abangnya dapat menjaga kebajikan anaknya, meski dirinya sedang bertarung nyawa di hospital.

MAHU JADI SURI TELADAN YANG BAIK BAGI ANAKNYA

Dugaan silih ganti tidak sekali-kali melenturkan semangat Encik Zafarudin untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami mahupun bapa.

Sepanjang dua bulan cuti sakit, beliau mengajak keluarganya mengamalkan gaya hidup sihat — bersiar-siar di taman, bermain catur dan gitar bersama.

Beliau juga sentiasa menemani isterinya ke sesi rawatan dan konsultasi doktor.
Related article image
Sejak 2023, Cik Nani Hartini (ketiga dari kanan) aktif menyertai dalam kegiatan Yayasan Barah Payudara (BCF), termasuk Dragon Boat Challenge. (Gambar: Nani Hartini)
Sejak 2023, Cik Nani menyertai dalam kegiatan Yayasan Barah Payudara (BCF), dan Encik Zafarudin memberi sokongan penuh. Walaupun tidak ramai kaum Adam sepertinya turut serta dalam program BCF, ia tidak dijadikan hambatan untuk Encik Zafarudin tetap memberi semangat kepada penjaga lain senasib dengannya serta isterinya.

Beliau antara lain menyertai Kumpulan Sokongan Penjaga (CSG), Pink Ribbon Walk dan Dragon Boat Challenge, bersama BCF.

“Saya rasa bangga sebab waktu itu, tak ramai kaum Adam Melayu yang terlibat. Tapi wanita seperti saya sangat perlukan sokongan penjaga, kerana rasa sakit dan pergolakan emosi itu besar,” kata Cik Nani.

Meskipun Cik Nani belum bebas sepenuhnya daripada barah dan masalah jantungnya masih dipantau, Encik Zafarudin tetap cekal memikul tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa.
Related article image
Encik Zafarudin Zahid bergambar bersama keluarganya pada Hari Raya Aidilfitri. (Gambar: Zafarudin Zafa)
Beliau berhasrat terus menjadi suri teladan bagi anak-anaknya, yang kian mendewasa - bahawa kasih sayangnya tidak berbelah bahagi dan ikatan erat kekeluargaan penting dalam masa-masa sukar sebegini.

“Saya perlu pastikan saya sihat, dan saya mahu terus berikan yang terbaik kepada keluarga saya,” ujar Encik Zafarudin.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita