Karyawan teknologi SG, Indonesia berpeluang bekerja dalam industri satu sama lain di bawah perjanjian baru
(Gambar: AFP/Edgar Su)
SINGAPURA: Karyawan teknologi muda dari Singapura dan Indonesia boleh bekerjasama serta menimba pengalaman dalam industri teknologi satu sama lain di bawah satu perjanjian yang dimeterai oleh kedua-dua negara itu pada Khamis (16 Mac).
Program 'Tech:X' adalah antara enam Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani di Retreat Pemimpin Singapura-Indonesia. Perjanjian itu merangkumi bidang-bidang seperti daya tenaga, kemampanan, kesihatan dan pembangunan modal insan.
Ketika menyampaikan ucapan selepas pemeteraian MOU itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga menyentuh tentang kemajuan dalam kerjasama dua hala antara Singapura dengan Indonesia.
Beliau menarik perhatian kepada pengesahan tiga perjanjian di bawah Rangka Kerja yang Diperluaskan, di mana pemeteraiannya disaksikan oleh Encik Lee dan Presiden Indonesia Joko Widodo pada retreat lalu.
Encik Lee berkata kedua-dua negara sudah "mengambil langkah besar untuk menghuraikan tiga isu dua hala yang berlarutan" dan "bersedia untuk mengorak langkah dalam bidang kerjasama baru".
PERTUKARAN KARYAWAN TEKNOLOGI
Program 'Tech:X' akan membolehkan karyawan teknologi muda di Singapura dan Indonesia "mengejar peluang yang semakin berkembang dalam ekonomi digital negara satu sama lain", menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Perjanjian yang dimeterai dengan Kementerian Penyelarasan Ehwal Ekonomi Indonesia juga akan "memperdalam hubungan" antara ekosistem teknologi di kedua-dua negara, tambah MTI.
Karyawan-karyawan dari Singapura dan Indonesia harus berusia bawah 30 tahun dan sudah tamat pengajian tidak lebih dari lima tahun dengan memperolehi sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda daripada universiti yang disenaraikan di kedua-dua negara.
Maklumat lanjut mengenai program itu akan didedahkan apabila ia siap kelak, menurut MTI.
Satu perjanjian sedia ada berkaitan pendidikan dan latihan vokasional antara Kementerian Pendidikan (MOE) dengan Kementerian Perusahaan Indonesia juga diperbaharui pada Khamis.
Selain itu, Perjanjian Kewangan Dua Hala di antara bank pusat kedua-dua negara dilanjutkan buat tahun keempat berturut-turut.
Sembilan MOU antara perniagaan juga ditandatangani antara Singapura dengan Indonesia, merangkumi bidang-bidang seperti ekonomi digital dan jagaan kesihatan.
Di sidang media bersama, Encik Lee berkata Singapura dan Indonesia pada minggu lalu memohon secara bersama kelulusan daripada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi aturan-aturan baru di bawah perjanjian Rantau Maklumat Penerbangan (FIR).
Setelah ICAO meluluskan permohonan tersebut, kedua-dua negara akan menentukan tarikh bagi ketiga-tiga perjanjian tersebut dilaksanakan secara serentak, yang akan membawa "manfaat berpanjangan kepada kedua-dua pihak", tambah beliau.
"Hasil pencapaian ini mencerminkan hubungan dua hala kami yang kukuh dan ia memaparkan bahawa Singapura serta Indonesia boleh meraih manfaat bersama yang besar melalui penglibatan yang terbuka dan membina."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.