Skip to main content

Singapura

Karyawan, peniaga digesa agar tidak gentar hadap AI, sebaliknya rebut peluang tingkatkan kemahiran: AMP, DPPMS

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, para pekerja tidak seharusnya rasa gentar dengan kemajuan Kecerdasan Buatan (AI).

Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mokhsin Mohd Rashid sebaliknya mengatakan bahawa para karyawan sepatutnya mengambil peluang untuk mempelajari tentang AI.

Encik Mokhsin berkata demikian sebagai reaksi kepada ucapan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Lawrence Wong yang mengumumkan beberapa inisiatif baharu berkenaan AI untuk memajukan negara.

Antaranya termasuk penubuhan Majlis Kecerdasan Buatan Kebangsaan untuk menyelia pembangunan dan pelaksanaan "misi-misi AI" yang bertujuan mencabar sempadan "apa yang boleh dicapai oleh Singapura dan dunia".

Meskipun misi-misi itu akan tertumpu pada empat sektor iaitu pengilangan maju, keterhubungan, kewangan dan kesihatan, Encik Mokhsin menjelaskan bahawa setiap karyawan juga tidak terlepas untuk memperkasakan diri menggunakan AI.

Encik Mokhsin berkata: "Setiap industri itu akan ada impaknya dari segi AI. Sebenarnya dari sudut kuasa pasaran, ia tidak menunggu sesiapa individu. Dan lebih baiknya kita memberikan peluang untuk pendedahan. Dan sekiranya ada cukup pendedahan, jurang untuk menerima AI itu lebih dimudahkan."

RANGKAIAN JARINGAN KEPERLUAN BAGI MENANGANI AI

Dalam ucapannya, PM Wong menyentuh tentang kegelisahan para pekerja tentang kehilangan pekerjaan disebabkan penggunaan AI.

Beliau menegaskan bahawa pemerintah akan terus menyokong para pekerja sepanjang tempoh peralihan itu.

Dari sudut itu, Encik Mokhsin akur bahawa para pekerja perlu diberikan sokongan untuk memudahkan mereka diberi peluang kepada akses dan juga pendedahan dalam AI.

Beliau menyarankan kerjasama antara majikan dan para karyawan bagi menerapkan penggunaan AI dalam pekerjaan mereka.

"Mungkin boleh berbincang bersama majikan masing-masing untuk melihat bagaimana AI dalam pekerjaan mereka sendiri dapat memberikan produktiviti yang lebih baik sekiranya dilakukan bersama waktu masa pekerjaan itu," kata Encik Mokhsin.

Dalam masa yang sama, beliau menekankan bahawa pengubahsuaian terhadap AI tidak boleh berlaku secara bersendirian.

Ia sebaliknya memerlukan ekosistem sokongan yang kukuh.

"Saya rasa di peringkat pekerjaan ini, kita perlukan rangkaian sokongan ataupun rangkaian yang dapat membantu kita apabila kita di setiap persimpangan untuk membuat pilihan ataupun membuat keputusan dari segi kerjaya. Pada pendapat saya, membina jaringan dan juga modal sosial sangat penting untuk kita mencari rakan-rakan yang dalam mencari cara untuk menangani AI dalam satu rangkaian," kata Encik Mokhsin.

Selain itu, Encik Mokhsin juga menyeru golongan karyawan Islam tempatan meningkatkan diri dari segi teknikal dan praktikal menerusi program-program yang disediakan oleh SkillsFuture.

Bagi menyokong para pekerja, pemerintah kata PM Wong akan membantu membina keupayaan AI yang praktikal menerusi bidang perakaunan dan undang-undang, dan secara berperingkat meluaskannya ke bidang-bidang lain.

AI SEBAGAI ALAT BAGI MEMBANTU PARA PENIAGA

Selain para pekerja yang menunjukkan kegentaran terhadap penggunaan AI, para peniaga perusahaan kecil dan sederhana (SME) juga tidak terlepas daripadanya.

Demikian menurut Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Abdul Malik Hassan.

"AI nampak besar dan rumit kepada sesetengah peniaga. Mereka mungkin risau tentang kos, kekurangan masa untuk belajar, ataupun kemahiran staf yang belum sedia. Lebih-lebih lagi perniagaan kecil di mana proses operasi masih manual, jadi data dan sistem mereka belum tersusun. Ini menyukarkan peniaga mendapatkan impak yang cepat daripada AI," kongsi Dr Malik.

Dalam ucapannya, PM Wong mengumumkan pelancaran program baharu "Champions of AI" untuk menyokong syarikat-syarikat yang berhasrat menggunakan AI bagi mentransformasikan perniagaan mereka secara menyeluruh.

Related article image
(Gambar: Hidir Ezat)
Menurut Dr Malik, para peniaga tidak seharusnya berasa takut untuk menerapkan AI dalam perniagaan mereka tetapi sebaliknya, menggunakan AI sebagai suatu alat untuk mempermudahkan proses perniagaan mereka.

"AI boleh bantu peniaga bergerak lebih pantas dan lebih tepat apabila meneroka pasaran luar. Contohnya, AI boleh menyokong kajian pasaran, memahami trend permintaan, membuat kandungan pemasaran yang lebih tersasar, dan mempercepat kerja seperti respon kepada pelanggan dan melakarkan SOP. Ini menjimatkan masa dan kos," tambahnya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa AI hanya bersifatkan pemacu.

Para peniaga sebaliknya perlu mengambil langkah seterusnya untuk terus berkembang, ujar Dr Malik.

"AI tetap alat sokongan sahaja. Kejayaan ke luar negara tetap perlukan rangkaian, rakan kongsi tempatan, dan pemahaman budaya pasaran. Jadi AI beri kelebihan dari segi kelajuan dan kecekapan, sementara misi perniagaan dan padanan perniagaan membantu dari segi hubungan dan akses pasaran," kata Dr Malik.

Menurut Dr Malik, penggunaan AI di dalam perniagaan kecil boleh menjimatkan masa, mengurangkan pembaziran dan membuat keputusan perniagaan yang lebih tepat.

"Untuk peniaga kecil, AI paling berguna bila ia memudahkan kerja harian. Dalam sektor F&B, contohnya, sistem pesanan dan pembayaran yang lebih pintar, ramalan stok, susun jadual staf, atau analisis menu barangan yang paling laku," kata Dr Malik.

"Untuk perniagaan runcit pula, AI boleh bantu urus inventori, cadangkan produk untuk promosi, dan bina kandungan pemasaran yang konsisten untuk media sosial. Dengan ini, peniaga dapat menjimatkan masa, mengurangkan pembaziran, dan membuat keputusan yang lebih tepat," katanya lagi.

DPPMS juga mengatur langkah demi menyokong para peniaga SME mendakap AI.

DPPMS antara lain memberi tumpuan kepada penterjemahan dasar kepada tindakan yang lebih praktikal, khususnya dalam bidang AI dan pendigitalan.

Langkah itu dilakukan melalui program yang membantu peniaga mengenal pasti keperluan perniagaan mereka, memilih huraian yang sesuai serta melaksanakan penggunaan teknologi secara berkala.

Dr Malik berkata: "Dari segi AI, kami akan jalankan sokongan yang lebih praktikal, iaitu dengan program membantu peniaga kenal pasti keperluan, pilih huraian yang sesuai, dan memulakan pelaksanaan secara bertahap."

"Untuk pengembangan pasaran pula, kami akan memudahcara peluang serantau melalui misi perniagaan dan akses pasaran. Ini merupakan lawatan berstruktur, bersama pemadanan perniagaan dan menghubungkan mereka kepada rakan strategik di pasaran sasaran. Ringkasnya, kami mahu peniaga bukan sahaja faham skim dan strategi, tetapi benar-benar turun padang, bina rangkaian, dan buka peluang jualan baharu," tambah beliau lagi.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita