Skip to main content

Singapura

Karyawan kesihatan mental akan dilatih sediakan kaunseling jenayah, krisis

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Jul 2025 08:12PM Dikemas Kini : 16 Jul 2025 11:31PM
SINGAPURA: Para karyawan kesihatan mental dan pekerja sosial di Singapura akan dilatih untuk memberi kaunseling kepada mangsa jenayah dan keganasan.

Pakar psikologi pasukan Home Team akan berganding bahu dengan persatuan kesihatan setempat bagi mempersiap masyarakat untuk menghadapi krisis serta memperkukuh daya tahan mental.

Badan-badan yang terlibat termasuk Persatuan Psikologi Singapura dan Persatuan Pekerja Sosial Singapura.

Semasa melancarkan rangkaian ini pada Rabu (16 Jul), Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri Sim Ann berkata jenayah seperti dadah dan radikalisasi diri adalah ancaman mendesak terhadap keselamatan Singapura.

Cik Ann berkata: "Untuk melindungi masyarakat kita, kita mesti memahami mengapa orang terjebak atau berkelakuan dengan pelbagai sikap.

"Di sinilah psikologi memainkan peranan. Pasukan Home Team kami menggabungkan sains psikologi dalam setiap aspek kerja kami - daripada operasi kepada pencegahan, daripada latihan kepada pemulihan."

Cik Ann berkata demikian di persidangan Kementerian Ehwal Dalam Negeri mengenai psikologi jenayah dan operasi.

Satu rangkaian berasingan juga akan dibentuk, melibatkan pakar jenayah dan penguatkuasaan undang-undang dari seluruh Asia.

Mereka akan mengkaji cara yang lebih berkesan untuk memulihkan bekas pesalah, menyokong mangsa jenayah dan mencegah jenayah.

Rangkaian itu merupakan yang pertama seumpamanya dan bertujuan untuk membangunkan amalan psikologi yang disesuaikan untuk rantau ini.

Ketua Pakar Psikologi di MHA dan Pengerusi Persidangan Asia bagi Psikologi Jenayah dan Operasi (ACCOP) Dr Majeed Khader berkata: "Walaupun kita banyak belajar daripada tokoh-tokoh besar di Barat - Amerika, Eropah - kita juga perlu mencari apa yang berkesan di Timur.

"Bagaimana rakyat Singapura pulih selepas insiden teruk? Apakah isu-isu berkaitan budaya yang perlu kita hormati semasa menjalankan usaha pemulihan?"
 
Sumber : CNA/NY/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita