Karyawan kesihatan Melayu/Islam seru orang ramai duduk rumah atasi COVID-19
Para karyawan kesihatan Melayu/Islam menyeru orang ramai agar duduk di rumah seboleh mungkin demi mengekang penularan COVID-19.
Petikan skrin rakaman video para doktor Melayu/Islam beri peringatan langkah-langkah cegah COVID-19
SINGAPURA: Para karyawan kesihatan Melayu/Islam menyeru orang ramai agar duduk di rumah seboleh mungkin demi mengekang penularan COVID-19.
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli pada Rabu (8 Apr), tujuh pakar kesihatan menggunakan gaya yang pelbagai, termasuk berpantun, untuk menyampaikan pesanan yang sama, iaitu peri pentingnya orang ramai elakkan keluar rumah seberapa mungkin.
'PANTUN MURTABAK' AJAK MASYARAKAT DUDUK RUMAH
"Pergi ke kedai, membeli murtabak,
Sampai di rumah, dimakan, dimamah;
Jika hendak mengekang wabak,
Sama-samalah kita duduk di rumah"
Itulah pantun yang sempat dititipkan Dr Fadzil Hamzah, salah seorang karyawan yang ditampilkan dalam video sepanjang hampir tiga minit itu.
Turut menyampaikan pesanan penting itu adalah Dr Juriyah Yatim dengan beberapa rangkap pantun dua kerat, seperti:
"Baju kurung, baju kebaya,
Duduk sahaja di rumah, ya?
Biskut Oreo, biskut gajus,
Duduk di rumah, lagi bagus"
INGAT PADA WARGA SENJA
Dr Nur Farhan Mohd Alami pula berkongsi pengalamannya yang terus menjalankan tugas meskipun dalam keadaan sarat mengandung, sehinggakan ramai pesakitnya menyuarakan kebimbangan mereka.
Namun beliau menarik perhatian kepada satu lagi golongan yang lebih berisiko tinggi dalam menghadapi pandemik virus korona itu, iaitu warga emas.
"Sebetulnya saya sebagai pakar geriatrik (kesihatan warga senja) melihat ramai warga emas. Dan warga emas kita yang paling terjejas kalau mereka mendapat penyakit COVID(-19), sebab penyakit ini boleh menjadi serius dan boleh mendatangkan maut," jelas Dr Nur Farhan.
Dr Noorhisham Main turut berpesan agar masyarakat "ingat pada ibu bapa kita yang (dalam golongan) warga emas".
Beliau mengingatkan masyarakat tentang langkah-langkah praktikal seperti membantu warga senja membeli keperluan asas secukupnya agar mereka tidak perlu keluar rumah.
Namun memandangkan langkah-langkah kawalan pergerakan diperketat yang dilaksanakan pemerintah, Dr Noorhisham menekankan agar tidak secara beramai-ramai ke rumah ibu bapa atau ahli keluarga yang sudah berumur - cukup hanya seorang sahaja dan untuk jangka waktu yang singkat, memadai untuk memastikan keperluan mereka terjaga.
"AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA"
Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, dalam catatannya di Facebook pada Rabu mengajak orang ramai agar mendengar nasihat para doktor.
"Dengarlah seruan doktor-doktor M³ - ambil serius langkah-langkah Pemutus Rantaian (Circuit Breaker) jangkitan. Duduk di rumah! Elak berinteraksi dengan orang lain di luar rumah, jangan berlegar-legar di tempat awam jika tidak perlu dan hanya keluar untuk perkara-perkara penting," tulis beliau.
Beliau menekankan langkah itu hanya berhasil jika semua pihak laksanakan "amanah dan tanggungjawab kita bersama".
Dalam pada itu beliau turut menyuarakan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang "bertungkus-lumus menangani krisis (COVID-19)".
"Ayuh, kita semua lakukan peranan kita - hanya 28 hari saja. Insya-Allah, kita akan muncul lebih teguh selepas ini!"
Singapura pada Rabu mencatatkan 142 kes baru jangkitan COVID-19, iaitu lonjakan terbesar dalam masa sehari, menjadikan jumlah terkumpul di negara ini kepada 1,623.
LAPORAN BERKAITAN:
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.