Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Karyawan IT Melayu/Islam anjur seminar tentang peluang pekerjaan dalam sektor teknologi

Anggaran Waktu Membaca:
Karyawan IT Melayu/Islam anjur seminar tentang peluang pekerjaan dalam sektor teknologi

Para peserta seminar mengajukan soalan kepada karyawan dalam sektor IT. (Gambar: MENDAKI)

SINGAPURA: Bertukar pandangan dan mendengar sendiri pengalaman para karyawan dalam sektor teknologi maklumat (IT).  

Itulah yang dapat dilakukan hampir 130 belia dan karyawan muda yang menyertai seminar 'NextStop: Go Digital' Yayasan MENDAKI pada Sabtu (15 Okt). 

Ia diharap dapat memberi kesedaran kepada mereka tentang trend pekerjaan dalam bidang berkenaan. 

Acara itu turut disertai 20 karyawan dari Rangkaian Profesional Melayu/Islam dalam Teknologi (MMiT) yang berkongsi maklumat mengenai bidang itu.

Lebih istimewa lagi, seminar itu diadakan di pejabat Singapura syarikat Google dan ia merupakan kerjasama pertama antara MMiT dengan MENDAKI. 

Sesi perbincangan di seminar NextStop : GO DIGITAL. Ia disertai karyawan dari Google, Netflix dan TikTok. (Gambar: MENDAKI)

Dalam seminar itu juga, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kesihatan dan Undang-undang, Rahayu Mahzam mengendalikan sebuah sesi perbincangan dengan para karyawan IT bagi berkongsi maklumat tentang bagaimana para peserta boleh memanfaatkan perubahan trend dalam sektor itu bagi membina kerjaya dalam sektor digital. 

"Tema NextStop kali ini adalah 'Go Digital'. Ini adalah usaha kita untuk memberi sedikit pendedahan anak-anak muda kita kepada bidang IT. Kita bekerjasama dengan karyawan daripada sektor IT ini untuk mengadakan satu sesi di mana kita dapat memberi peluang kepada anak-anak kita tahu sedikit sebanyak tentang bidang-bidang yang ada dalam sektor ini dan memberi peluang untuk mereka berjumpa dan kenal suai juga dengan karyawan yang telah masuk ke dalam industri ini. Memberi pengalaman mereka dan tunjuk ajar bagaimana untuk berkembang dalam industri ini," kata Cik Rahayu. 

Acara seminar ini juga lebih bermakna kerana ia diadakan sempena sambutan ulang tahun MENDAKI yang ke-40 dan diadakan dalam bulan Raikan Ilmu. 

"Dengan ini kita harapkan dapat melihat lebih banyak minat dalam kalangan para pelajar kita dalam sektor IT dan mungkin melihat mereka menceburi bidang yang sedang berkembang ini. Ini antara usaha yang dijalankan untuk memberi sokongan kepada para pelajar untuk terus maju dalam pelbagai sektor di Singapura," ujar Cik Rahayu.
  
Turut hadir di acara itu ialah Penasihat Pertubuhan Akar Umbi GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha. 

Dalam kesempatan itu juga, Encik Sharael melancarkan cabaran 'hackathon' iaitu "HashTech- Cabaran Digital" oleh M³@Pasir-Ris Punggol. 

Ia bertujuan membangunkan kemahiran teknologi seperti analitik data dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi dan madrasah.

Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan