Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Karyawan berbilang kepakaran dipelawa sumbang tenaga sebagai relawan M³ bagi perkukuh ekosistem sokongan masyarakat

 Lebih ramai karyawan, khususnya daripada sektor-sektor yang berkembang maju, dipelawa untuk menyumbang tenaga sebagai sukarelawan di bawah naungan M³.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai karyawan, khususnya daripada sektor-sektor yang berkembang maju, dipelawa untuk menyumbang tenaga sebagai sukarelawan di bawah naungan M³.

Ini kerana kerencaman profil dan kepakaran para sukarelawan akan mengukuhkan lagi ekosistem sokongan bagi masyarakat Melayu/Islam, menurut Penasihat PA MESRA Dr Mohd Maliki Osman.

Beliau menambah bahawa perkara itu penting, lebih-lebih lagi sedang masyarakat mengharungi cabaran-cabaran baru yang timbul akibat pandemik COVID-19.

16 TAHUN MENABUR BAKTI KEPADA MASYARAKAT

Sejak 16 tahun lalu, Encik Razali Subir sudah menabur bakti kepada masyarakat melalui Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Bedok.

Bukan setakat itu saja, pegawai SCDF berusia 59 tahun itu malah tekun menerajui bermacam usaha mendampingi golongan memerlukan di bawah rangkaian M³@Bedok.

Melalui inisiatif seperti kunjungan dari rumah ke rumah, Encik Razali dapat memastikan skim-skim bantuan Pemerintah dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para penduduk yang amat memerlukannya.

Walaupun sudah lanjut usia, beliau masih tekad dan bersungguh untuk terus mencurahkan bakti kepada masyarakat.

"Selalunya kita sukarelawan memerlukan pengorbanan dan saya akan terangkan apabila kita membuat kerja sukarela, kita perlu membuat dengan hati yang ikhlas. Pengorbanan dari segi keluarga, masa dan pekerjaan dan tanpa sokongan keluarga, saya rasa kita tidak boleh dapat menunaikan segala kerja yang perlu kita tunaikan," kongsi beliau.

BERTEKAD HAKIS SALAH TANGGAP

Bagi Encik Muslim Albakri pula, pengalaman menguruskan kes pro bono di mahkamah menguatkan lagi iltizam beliau untuk terus membantu masyarakat.

Peguam berusia 33 tahun itu terkesan melihat bagaimana ramai daripada golongan kurang bernasib baik tidak mampu mendapatkan khidmat guaman disebabkan oleh kedudukan kewangan mereka.

Bagi menghakis tanggapan yang seolah-olah menggambarkan bahawa firma-firma guaman hanya mengutamakan anak guam yang mampu menanggung yuran guaman, Encik Muslim memutuskan untuk membuka firma guamannya sendiri yang kini aktif menguruskan kes-kes pro bono.

Beliau juga sudah hampir tiga tahun menjadi anggota Peguam@M³ yang menawarkan khidmat guaman kepada masyarakat secara percuma.

Pengarah Urusan ALBAKRI LLC itu berkata: "Saya sedar yang saya diberkati ilmu dan kemahiran yang dapat memanfaatkan masyarakat dan orang-orang keliling saya. Oleh itu, saya rasa kalau seseorang itu ada ilmu dan kemahiran, dia juga ada suatu tanggungjawab untuk menggunakan kemahiran dan ilmu itu untuk memanfaatkan masyarakat dan kebaikan umum.

"Saya rasa usaha untuk membangunkan masyarakat memerlukan kerjasama semua pihak. Kita harus berganding bahu, membantu dan bekerjasama dengan karyawan pelbagai bidang."

RELAWAN AKAN DIBERIKAN LATIHAN DI M³@ECO

Bagi memperkasakan para sukarelawan seperti mereka untuk menjalankan kegiatan-kegiatan mereka dengan lebih berkesan lagi, Dr Maliki mengumumkan di Parlimen bahawa Pejabat M³@ECO akan ditubuhkan.

Selain menyelaraskan kegiatan-kegiatan yang dirintiskan oleh masyarakat, pejabat tersebut juga akan menyediakan rangka kerja latihan untuk para sukarelawan terus mendampingi masyarakat.

Sejauh ini, lebih 500 sukarelawan termasuk 150 karyawan daripada pelbagai sektor seperti guaman, pendidikan dan jagaan kesihatan menyokong program-program M³. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan