Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Karya Shakespeare diberi sentuhan Nusantara dalam adaptasi Teater Ekamatra

Sempena Pesta Seni Antarabangsa Singapura 2022 (SIFA), kumpulan Teater Ekamatra bakal menghidupkan karya William Shakespeare berjudul "A Midsummer Night's Dream".

Anggaran Waktu Membaca:
Karya Shakespeare diberi sentuhan Nusantara dalam adaptasi Teater Ekamatra

Bangsawan Gemala Malam oleh Teater Ekamatra. (Gambar: Arts House)

SINGAPURA: Sempena Pesta Seni Antarabangsa Singapura 2022 (SIFA), kumpulan Teater Ekamatra bakal menghidupkan karya William Shakespeare berjudul "A Midsummer Night's Dream". 

Adaptasi karya komedi itu diberi sentuhan Nusantara dalam pementasan 'Bangsawan Gemala Malam' di Panggung Victoria.

Teater Ekamatra pernah mementaskan naskhah klasik itu 20 tahun lalu tetapi adaptasi kali dipersembahkan dalam bentuk bangsawan.

Bangsawan Gemala Malam ditulis oleh Ridhwan Saudi dan diarahkan oleh Aidli 'Alin' Mosbit, manakala Pengarah Artistik Mohd Fared Jainal selaku penerbit. 

"Kami bertanyakan diri kami apakah identiti yang kita ingin serapkan dalam pementasan kami. Di situlah kami berbincang dan keluar ilham iaitu unsur-unsur nusantara yang akan kami terapkan bukan sahaja dalam naskhah, pada setiap aspek pementasan dari set, kostum, dari muzik hingga cara mereka bertutur semua ada unsur-unsur nusantara," kata Mohd Fared.

Pementasan itu dibarisi pelakon-pelakon hebat lagi berbakat.

Antaranya penyanyi tempatan Aisyah Aziz, pelakon Fir Rahman dan Hatta Said.

"Dalam pementasan Bangsawan, selalunya kami bukan sahaja ada lakonan, tapi juga ada tarian, ada nyanyian dan ada permainan set dan props dan sebagainya. 

"Kita cuma ada sembilan pelakon tetapi mereka akan memainkan watak yang berbeza-beza. Jadi mereka akan sentiasa bertukar watak bila naik ke pentas. Jadi itu adalah satu cabaran bagi mereka dan saya rasa itu seronok ditonton," kata Encik Mohd Fared.

Proses pencernaan idea dan persiapan bagi pementasan itu dimulakan hujung tahun lalu.

Ini termasuk menjalin kerjasama dengan beberapa penulis tentang bagaimana untuk menerapkan unsur nusantara dalam pementasan itu serta menimba pengalaman daripada mereka yang pernah melibatkan diri dalam pementasan bangsawan.

Bangsawan Gemala Malam akan dipentaskan di Panggung Victoria pada 2 hingga 4 Jun ini pada pukul 8.00 malam. 

ADAT PERKAHWINAN MELAYU DIANGKAT DALAM PERSEMBAHAN NADI S'PURA

Nadi Singapura merupakan satu lagi kumpulan seni anak Melayu yang diundang untuk membuat persembahan di SIFA.

Ia  mempersembahkan '293NW' yang mengetengahkan majlis persandingan masyarakat Melayu menerusi tarian dan persembahan alat-alat muzik seperti Rebana, Marwas, Jidur dan Kompang.

(Gambar: Nadi Singapura)

"Ilham utama kami datang dari pengalaman kami sekumpulan meniti kehidupan ini melalui majlis-majlis perkahwinan yang telah kami hadir dan juga imaginasi kami tentang bagaimana ia boleh dipersembahkan dalam satu bentuk atau cara yang menarik.

"Kami dapati oleh kerana kearifan masyarakat Melayu Islam kami di tanah Melayu atau benua Nusantara ini, pelbagai rencah harus hadir untuk mencukupkan sifat yang ada dalam majlis perkahwinan dari sudut kebudayaan.  

"Contohnya, kedengaran bunyi rebana kompang, rebana hadrah, mungkin juga pakaian yang tertentu untuk raja sehari, pantun yang dikirim sebagai tanda menghormati majlis dan juga di antara semua ini adalah ia merupakan satu doa supaya perkahwinan itu dirahmati dan diberkati," kata pengasas bersama dan pengarah artistik Nadi Singapura, Riduan Zalani.

293NW merupakan sebahagian daripada persembahan "Ceremonial Enactments" yang memaparkan istiadat perkahwinan pelbagai kaum di Singapura yang disampaikan dalam persembahan bentuk kontemporari.

Pesta Seni Antarabangsa Singapura 2022 diadakan dari 20 Mei hingga 5 Jun.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan