Karya berjudul 'Doa' seniman Thailand menang Anugerah Lukisan Asia Tenggara Tahunan UOB 2025
- Seniman berusia 35 tahun dari Thailand, Jamilah Haji memenangi Anugerah Lukisan Asia Tenggara Tahunan UOB 2025.
- Karyanya bertajuk 'Doa' memaparkan sekumpulan wanita yang berada dalam keadaan berdoa, melambangkan impian bersama bagi pembaharuan dan kesejahteraan.
- Dilancarkan sejak 1982, Lukisan Terbaik Tahunan UOB merupakan antara pertandingan seni yang paling diiktiraf di Asia Tenggara.
- Peminat seni dapat menikmati Pameran Pemenang Serantau, Lukisan Terbaik Tahunan UOB 2025, di UOB Discovery Space, Galeri Nasional Singapura.
SINGAPURA: Lebih 1,000 seniman serantau menyertai pertandingan seni tahunan paling lama dianjurkan di Singapura, Lukisan Terbaik Tahunan UOB.
Seniman berusia 35 tahun dari Thailand, Jamilah Haji memenangi Anugerah Lukisan Asia Tenggara Tahunan UOB 2025.
Karyanya bertajuk 'Doa' memaparkan sekumpulan wanita yang berada dalam keadaan berdoa, melambangkan impian bersama bagi pembaharuan dan kesejahteraan.
Cik Jamilah akan bersaing dengan empat pemenang negara lain bagi merebut program residensi seni di Paris, tajaan bank UOB.
Dilancarkan sejak 1982, Lukisan Terbaik Tahunan UOB merupakan antara pertandingan seni yang paling diiktiraf di Asia Tenggara.
Kini diadakan di Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam, pertandingan ini terus mengetengahkan generasi baharu seniman hebat serantau serta menyumbang kepada usaha meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap seni.
Dua seniman Singapura turut memenangi anugerah utama bagi kategori seniman mapan dan muda.
Sementara itu, seorang pendidik seni, Mohammad Iqbal Roslan, menang pingat Gangsa, di bawah kategori Seniman Muda.
"Saya mencari ilham daripada suasana kawasan estet perumahan HDB yang dekat dengan hati ramai warga Singapura. Karya saya ingin menangkap detik-detik kecil yang sering kita abaikan dalam kehidupan seharian kita. Jadi saya harap bahawa para penonton dapat mengaitkan pengalaman diri mereka sendiri dengan kerja saya," ujar Pemenang Gangsa, Kategori Seniman Muda, Lukisan Terbaik Tahunan UOB 2025, Mohammad Iqbal Roslan.
"Saya rasa pemilihan subjek saya iaitu Sedetik Dalam Perjalanan Pengangkutan Awam begitu dekat dengan hati ramai warga Singapura. Selain itu, saya pun rasa gubahan karya saya yang agak kompleks dan persembahan kemahiran seni yang bertahap tinggi juga menyumbang kepada pemilihan karya saya sebagai salah satu pemenang," tambahnya lagi.
Peminat seni dapat menikmati Pameran Pemenang Serantau, Lukisan Terbaik Tahunan UOB 2025, di UOB Discovery Space, Galeri Nasional Singapura.
Ia dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 7 malam, sehingga 31 Januari 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.