Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Karya 2 guru bahasa Melayu terpilih dalam senarai pendek bagi Hadiah Sastera Singapura 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 49 karya disenarai pendek untuk Hadiah Sastera Singapura (SLP) tahun ini, dalam 12 kategori.

Kategori-kategori itu merentasi tiga genre, iaitu puisi, fiksyen dan bukan fiksyen kreatif, dan empat bahasa, iaitu bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Tamil.

Antara penulis yang disenarai pendek buat kali pertama dalam kategori fiksyen termasuk seorang guru Bahasa Melayu, Mohamed Naguib Ngadnan, 42 tahun.



Sudah menulis sejak usia remaja lagi iaitu semasa berusia 15 tahun, perasaan gembira bercampur syukur dirasakan guru itu.

Ini lebih-lebih lagi apabila tercalon sama dengan para penulis yang beliau kagumi dan pernah seangkatan dengannya dahulu.

"Selama ini memang banyak sokongan diberikan oleh rakan-rakan dan ahli keluarga. Jadi apabila disenarai pendek, rasa seolah-olah usaha selama ini berbaloi dan sememangnya usaha seterusnya adalah untuk terus menulis dan mungkin memberi keberkesanan lagi dalam penulisan ini kepada masyarakat," kongsi Encik Naguib kepada BERITAmediacorp.



Menggunakan teknik-teknik penceritaan yang unik, kumpulan 24 cerpen dalam buku solo pertama Encik Naguib yang berjudul Saudagar Pagar itu, diharap dapat mencetus minat pembaca untuk menceburi bidang penulisan Melayu.

"Kebanyakan daripada cerita-ceritanya, (saya) sudah mengambil inspirasi daripada sejarah, termasuk sejarah sastera, sejarah agama dan juga kisah-kisah sastera lama yang banyak saya ungkapkan," menurut Encik Naguib.

"Mungkin kekuatannya adalah dari segi teknik penulisan yang agak berbeza, di mana saya menggunakan permainan antara parodi, alegori, satira untuk menyampaikan mesej-mesej sejagat," tambahnya lagi.

TAMPILKAN KELAINAN DALAM CERPEN SERTA KONSEP SASTERA BINATANG

Antara teknik bercerita yang digunakan Encik Naguib termasuk lukisan dan kata-kata sebegini dalam cerpen-cerpennya.

Selain itu, Encik Naguib turut memanfaatkan gabungan lukisan dan kata-kata dalam beberapa cerpennya, sesuatu yang jarang dilakukan dalam karya-karya sastera Melayu Singapura.

Konsep sastera binatang seperti yang boleh ditemui dalam sastera lama turut dipaparkan dalam buku setebal 247 muka surat itu.

"Bagi mereka yang berfikir secara kritis dan mendalam, mereka akan melihat adanya mesej-mesej yang lebih kritikal tentang kehidupan di dunia ini, identiti diri, bangsa dan kaum," ujar Encik Naguib.

LEBIH LUAS PANDANGAN BERBANDING DAHULU

Bagi penulis itu yang sudah lama menulis dan pernah juga memenangi dua Anugerah Persuratan dan tempat pertama dalam sayembara Golden Point Award, beliau mendapati beberapa perkembangan dari segi penulisannya.

"Perkembangannya mungkin dari segi kaca matalah. Mungkin dahulu penglihatannya agak miopik. Sekarang ini lebih luas pandangan dengan apa yang berlaku di sekeliling, daerah, kemudian mungkin secara sejagat," kata Encik Naguib.

CIKGU DJOHAN DISENARAI PENDEK BUAT KALI KEDUA UNTUK SLP 2022


(Gambar: Singapore Book Council) 

Turut disenarai pendek dalam kategori fiksyen kali ini adalah hasil karya seorang lagi guru bahasa Melayu, Djohan Abdul Rahman dengan buku berjudul 'Interlud'.

Ini merupakan kali kedua beliau dicalonkan.

Sebelum ini beberapa karyanya juga pernah diterbitkan di Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Namun begitu, beliau tidak menyangka disenarai pendek sekali lagi dan melahirkan rasa 'teruja' memandangkan bukan calang-calang penulis yang tercalon sama.

Mereka termasuk pemenang Pingat Budaya dan Anugerah Persuratan, Suratman Markasan, 91 tahun juga antara yang disenarai pendek dan merupakan penulis yang paling tua di samping ahli sejarah Wang Gungwu.



"Kalau dibandingkan dengan saya, saya masih bertatih lagi. Masih banyak yang perlu saya belajar lagi. Cuma pada masa yang sama, terasa macam ini merupakan satu pengiktirafan dan saya rasa bersyukur," kongsi Encik Djohan kepada BERITAmediacorp.

"Ini kerana ia menampakkan bahawa segala penulisan saya dan segala hasil kerja saya itu diterima masyarakat, khususnya golongan pembaca," tambah beliau.

Sebelum ini, Encik Djohan pernah memenangi Hadiah Persuratan Kategori Remaja pada tahun 2001 dengan cerpen pertamanya, 'Salah Siapa'.

"Kalau dapat lihat mungkin pada awal saya menulis, persoalan yang cuba saya utarakan itu lebih bersifat diri sendiri dan apa yang saya nampak," kongsi Encik Djohan apabila ditanya bagaimana penulisannya sudah berkembang mengikut peredaran masa.

"Namun semakin lama dan mungkin semakin banyak saya melihat dan membaca karya-karya penulis lain, saya juga mungkin meluaskan perspektif saya dan mungkin karya-karya yang terhasil terkini pula dapat menampakkan kematangan dan juga mengutarakan mesej-mesej ataupun isu-isu yang lebih mendalam dan lebih bersifat global," menurutnya lagi.

HASILKAN CERPEN DALAM MASA TIGA JAM

Mengungkap tentang karyanya itu, buku yang dimuatkan dengan 19 cerpen menurut Encik Djohan agak 'rencam', dengan pelbagai genre seperti cereka sains atau 'sci-fi', historiografi, seram serta cerpen berdasarkan pengalaman peribadi ditampilkan.

"Salah satunya yang ingin saya serlahkan ialah cerpen 'Ayah Kat Mana'. Selalunya kalau kita nak hasilkan sebuah cerpen itu, ia mengambil masa mungkin satu hingga tiga hari," kata Encik Djohan.

"Namun yang ini, berdasarkan pengalaman di sekeliling saya dan juga pengalaman saya sendiri, saya telah menghasilkannya dalam masa tidak sampai tiga jam. Jadi emosi yang dikaitkan dengan penghasilan cerpen itu agak menebal," tambahnya lagi.

Antara cerpen yang terkandung dalam buku 'Interlud' (Gambar: Djohan Abdul Rahman)

Dengan bukunya itu, Encik Djohan berharap dapat 'merancakkan' lagi dan menambah sumber bacaan yang ada khususnya untuk Bahasa Melayu.

"Ada yang mengatakan penulisan saya itu agak domestik dan penulisannya mudah diterima. Jadi para pelajar atau pembacanya tidak perlu berkerut dahi, memikirkan apa yang tersirat dan sebagainya," ujar Encik Djohan yang menggabungkan bahasa-bahasa bersahaja yang disulami dengan unsur-unsur lucu yang dalam ceritanya.

"Jadi mungkin, sumbangan yang sebegitu (dapat) membentuk alternatif yang pelbagai jadi pembaca khususnya dapat memilih mana satu mengikut citarasa peribadi," tambahnya.

CARA SOKONG DAN TARIK LEBIH RAMAI PENULIS TEMPATAN

Jadi apa lagi yang boleh dilakukan untuk menyokong dan menarik minat lebih ramai penulis tempatan Singapura?

Bagi kedua-dua orang guru itu, antara cara yang mungkin boleh dilakarkan termasuk mengadakan lebih banyak pertandingan untuk para penulis mengetengahkan bakat dan minat mereka.

Ini termasuk pertandingan sayembara penulisan serta pertandingan-pertandingan yang diadakan sekali-sekala.

"Ramai penulis mapan atau penulis-penulis baru semua suka sangat kerana pertandingan itu dapat menampakkan kemampuan mereka dan sekiranya ada perkembangan dari sudut penulisan," kongsi Encik Djohan.

Antara contoh pertandingan yang beliau maksudkan termasuklah 'Projek Cerpen' yang ditayangkan buat dua musim di Suria yang menarik penyertaan ramai bakat baru.

"Mungkin dengan adanya pertandingan-pertandingan sebegini, kita dapat lagi memupuk minat dan juga mencari golongan pelapis yang bakal menerajui arena penulisan sastera Melayu di Singapura." ujar Encik Djohan.

Pendapat yang sama turut dikongsi Encik Naguib.

"Mungkin menggemblengkan tenaga dan usaha dari karyawan-karyawan lain, bukan sahaja penulis tetapi juga mengambil daripada industri seni lakonan," menurut Encik Naguib.

"Jadi sebagai contoh mungkin cerita itu boleh dilakonkan, dijadikan sutradara dan boleh wujud dalam genre yang lain seperti contoh tarian ataupun deklamasi sajak dan sebagainya," tambahnya.

PENULIS BERPELUANG MENANG S$3,000 DAN TROFI BAGI SLP 2022

Keputusan bagi SLP bakal diumumkan pada 25 Ogos ini di Majlis Anugerah itu di Panggung Victoria.

Acara itu dibuka kepada orang ramai.

(Gambar: Laman Singapore Book Council) 

Sekitar 43 penulis akan bersaing untuk merebut anugerah utama dalam setiap kategori yang menawarkan hadiah wang tunai S$3,000 dan trofi.

Seramai empat penulis dari setiap kategori Bahasa juga berpeluang menerima hadiah wang tunai sebanyak S$1,000 berdasarkan undian yang dibuat orang ramai untuk buku kegemaran mereka.

Para pengundi juga berpeluang memenangi baucar buku.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan