Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kapten (NS) Abdul Haniff sudah bersedia galas tugas lebih besar, mencabar

Sepanjang tempoh dua minggu pada Julai, isteri Kapten (NS) Abdul Haniff Abdul Khalik dan tiga anak lelaki mereka, berusia antara dua hingga 12 tahun, menyaksikannya menggalas tugas sebagai seorang pegawai tentera.

Anggaran Waktu Membaca:
Kapten (NS) Abdul Haniff sudah bersedia galas tugas lebih besar, mencabar

CPT (NS) Abdul Haniff Abdul Khalik menerima sijil kelulusan disampaikan Panglima Pasukan Pertahanan, Leftenan Jeneral Melvyn Ong pada 26 Okt. (Gambar: Chan Sian Lang/PIONEER)

Diterbitkan : 28 Oct 2020 07:59PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 08:20PM

SINGAPURA: Sepanjang tempoh dua minggu pada Julai, isteri Kapten (NS) Abdul Haniff Abdul Khalik dan tiga anak lelaki mereka, berusia antara dua hingga 12 tahun, menyaksikannya menggalas tugas sebagai seorang pegawai tentera, sibuk merancang pertempuran dari pagi sampai ke malam sebagai sebahagian daripada kursus yang perlu dijalaninya.

Disebabkan oleh pandemik COVID-19, para askar kerahan (NSmen) termasuk CPT (NS) Abdul Haniff terpaksa menjalani program berbentuk belajar di rumah selama dua minggu bagi menggantikan fasa kursus yang lazimnya diadakan di Kolej Pemimpin dan Kakitangan Goh Keng Swee (GKS CSC).

Lantaran itu, keluarga CPT (NS) Abdul Haniff kini lebih memahami cabaran-cabaran yang dihadapinya sebagai pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

“(Isteri saya) benar-benar memahami jika melihat saya berasa sangat letih (semasa menjalani kursus tersebut)," dedah beliau kepada laman majalah SAF, PIONEER yang diterbitkan pada Ahad (26 Okt).

"Sekarang beliau boleh melihat bahawa ‘latihan dalam kem (ICT) sebenarnya bukan saja melibatkan perkara seperti menggunakan senjata dan berbincang dengan rakan-rakan',” kata pegawai Pengawal berusia 39 tahun itu.

Keluarga CPT (NS) Abdul Haniff lebih memahami cabaran yang dihadapi seseorang pegawai SAF setelah menyaksikan beliau menjalani kursus GKS CSC. (Gambar: Abdul Haniff Abdul Khalik/PIONEER) 

Beliau menambah bahawa anak-anaknya mula menunjukkan minat terhadap tugasnya sebagai seorang pegawai tentrea setelah menyaksikan bapa mereka menjalani kursus tersebut.

CPT (NS) Haniff adalah antara 226 pegawai yang lulus kursus GKS CSC tahun ini. Kohort itu terdiri daripada 116 pegawai tetap, 49 pegawai NS, 37 pakar tentera, tiga pegawai waran SAF, seorang pegawai Pasukan Polis Singapura dan 20 pegawai asing dari 13 negara.

CSC adalah kursus selama 10 bulan sebagai persiapan bagi para pegawai untuk menggalas jawatan dan peranan sebagai pemimpin kanan SAF.

LATIHAN SELAMAT DAN BERKESAN

COVID-19 melanda Singapura sejurus selepas CPT (NS) Abdul Haniff dan rakan-rakan sekuliahnya memulakan kursus CSC pada Januari.

“Pada mulanya, terdapat keraguan dalam kalangan NSmen (sama ada kursus itu akan diteruskan),” kata beliau.

Meskipun berdepan dengan gangguan akibat COVID-19, CPT (NS) Haniff dan rakan-rakannya berjaya menyelesaikan latihan mereka. Ini dicapai menerusi pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat oleh GKS CSC.

CPT (NS) Abdul Haniff (baris kedua dari atas, paling kanan) menjalani latihan perancangan dengan rakan-rakan sekuliah menerusi wadah online Zoom. (Gambar: PIONEER)

Selain memperkenalkan pembelajaran di rumah buat dua minggu pertama pada fasa latihan di kolej sepanjang lima minggu, kuliah-kuliah GKS CSC disampaikan secara bertemu muka atau ‘live’ bagi setiap kumpulan pelatih yang ditempatkan dalam bilik-bilik latihan berasingan.

Dalam setiap kumpulan kecil, lembaran plastik dipasang untuk dijadikan hadangan antara setiap pelatih.

“Tidak sekali-kali kita berasa bahawa keselamatan kita terjejas,” ujar CPT (NS) Haniff.

TAJAMKAN KEMAHIRAN MERANCANG

Kursus tersebut, kata CPT (NS) Haniff, menajamkan kemahiran merancang pertempuran, dan memberinya gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana formasi dan khidmat lain saling berpadu tenaga dalam SAF.

Ini mendalamkan lagi pemahaman CPT (NS) Haniff dan membolehkannya untuk membantu unitnya melakarkan strategi pertempuran yang lebih mantap.

CPT (NS) Haniff adalah timbalan ketua bahagian Sokongan Perkhidmatan Tempur (CSS) Briged Infantri Singapura ke-13 (13 SIB). Beliau bakal mengambil alih jawatan Ketua Bahagian CSS atau S4 bagi pelantikan seterusnya.

“Apa saja yang anda rancang akan dilaksanakan oleh askar-askar di medan pertempuran, jadi kita perlu memastikan kita merancangnya dengan terperinci, kerana ia mendatangkan kesan kepada askar penggempur,” kata CPT (NS) Haniff.

MENGIMBANGI TUNTUTAN

Di tengah-tengah keadaan ekonomi yang gawat akibat pandemik COVID-19, para pelatih NSmen itu berdepan dengan tekanan tambahan untuk memastikan mereka kekal relevan di tempat kerja – sambil mengimbanginya dengan tuntutan berat kursus CSC, kongsi CPT (NS) Haniff.

CPT (NS) Abdul Haniff (paling kiri) semasa upacara pembukaan kursus GKS CSC (NS) ke-21 pada Januari 2020, dengan didampingi rakan-rakan kerja dari Certis Group yang turut mengikuti kursus itu. (Gambar: Abdul Haniff Abdul Khalik/PIONEER)

CPT (NS) Haniff dan rakan-rakan sekuliahnya perlu sentiasa menghabiskan tugasan masing-masing di luar waktu kursus dan pada hujung minggu. Namun mereka tidak gentar untuk membuat pengorbanan, dedah CPT (NS) Haniff.

“Kami memilih untuk menjalani kursus ini kerana kami diamanahkan dengan peranan untuk menyusun dan mengatur strategi pertempuran. Diberikan peluang untuk membuat sumbangan ... adalah satu keistimewaan yang sangat kami hargai.”

Rencana ini pertama kali diterbitkan di laman PIONEER

Sumber : Agensi berita/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan