Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kapten Muhammad Azlan terbang tinggi dalam RSAF; juruterbang Super Puma ini akan dinaikkan ke pangkat Mejar pada 1 Jul

Seperti kanak-kanak lain, filem 'Top Gun' mencetuskan inspirasi kepada Muhammad Azlan Abdul Latiff yang menganggap kerjayanya sebagai seorang juruterbang sesuatu yang bukan saja "mulia tetapi juga menyeronokkan dan bermakna". 

Anggaran Waktu Membaca:
Kapten Muhammad Azlan terbang tinggi dalam RSAF; juruterbang Super Puma ini akan dinaikkan ke pangkat Mejar pada 1 Jul

Impian menjadi seorang jurutera tentera menjadi kenyataan bagi CPT Azlan. (Gambar: MINDEF menerusi PIONEER)

Diterbitkan : 28 Jun 2020 07:44PM Dikemas Kini : 28 Jun 2020 08:32PM

SINGAPURA: Seperti kanak-kanak lain, filem 'Top Gun' mencetuskan inspirasi kepada Muhammad Azlan Abdul Latiff yang menganggap kerjayanya sebagai seorang juruterbang sesuatu yang bukan saja "mulia tetapi juga menyeronokkan dan bermakna".

"Sudah menjadi impian saya sedari kecil untuk menerbangkan pesawat," luah beliau.

Kini, pada usia 35 tahun, Muhammad Azlan sudah bergelar Kapten.

Kisah anak watan Melayu ini mengejar cita-citanya di awan langit biru diterbitkan oleh PIONEER, sebuah majalah yang memaparkan berita terkini mengenai Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Kerjaya CPT Muhammad Azlan dibina bermula daripada segulung ijazah dalam penerbangan dari Universiti RMIT di Australia. Setelah tamat pengajian, beliau menyertai Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan menjadi seorang juruterbang helikopter yang mengemudikan Super Puma.

"Saya sukakan cabaran dan bukan pekerjaan yang terikat dengan meja pejabat. Jadi kerjaya ini sebagai seorang juruterbang angkatan udara memberi peluang kepada saya untuk membuat sesuatu yang bermakna dan menyeronokkan," ujar beliau seperti ditukil oleh PIONEER.

Sebagai seorang Pegawai Perhubungan Penyenggaraan, CPT Azlan memastikan semua pesawat di bawah Skuadron 126 disenggara supaya ia selamat untuk diterbangkan. (Gambar: MINDEF menerusi PIONEER)

(Sebagai seorang Pegawai Perhubungan Penyenggaraan, CPT Azlan memastikan semua pesawat di bawah Skuadron 126 disenggara supaya ia selamat untuk penerbangan. Gambar: MINDEF menerusi PIONEER)

Sejak menerima sijil penerbangannya 10 tahun lalu, CPT Muhammad Azlan sudah menyertai pelbagai operasi mencari dan menyelamat.

Antara operasi yang paling tidak dapat dilupakan beliau adalah misi pertamanya. Ketika itu, beliau perlu menyelamat seorang anak kapal yang terjatuh ke dalam laut daripada sebuah kapal dagang. Kapal itu belayar di Laut China Selatan.

Kapten Muhammad Azlan mengimbas kembali peristiwa itu: "Ketika anda masih seorang junior dan terlibat dalam operasi sebenar untuk menyelamatkan nyawa seseorang buat pertama kalinya, tekanan yang anda rasakan benar-benar berbeza. Mangsa dibawa arus dalam keadaan tidak sedar tetapi kami berjaya menyelamatkannya dan menghantar beliau ke hospital. Beliau pulih sepenuhnya dan menulis surat untuk mengucapkan terima kasih kepada kami selepas itu."

MENGAJAR DARI HATI

Kini seorang jurulatih dan Pegawai Perhubungan Penyenggaraan di Skuadron 126, CPT Muhammad Azlan melatih para juruterbang muda dalam fasa penerbangan lanjutan yang berusaha untuk meraih sijil penerbangan mereka. Membimbing juga satu peranan yang dekat di hati beliau.

Terkenang pesanan seorang jurulatih kanan, CPT Azlan berkata: "Untuk menjadi seorang jurulatih yang baik, ia bukan tentang betapa hebat anda mengajar atau bercakap tetapi kebolehan untuk membimbing seseorang itu menggunakan seluruh jiwa raga anda."

"Hati adalah alat paling penting apabila melatih atau membimbing. Saya mahu pastikan saya mengajar dari hati," tambahnya.

GEMBIRA KECAPI KERJAYA IDAMAN

CPT Azlan bersama keluarganya. (Gambar: MINDEF menerusi PIONEER)

(CPT Azlan bersama keluarganya. Gambar: MINDEF menerusi PIONEER)

Berkongsi berita gambar beliau akan dinaikkan pangkat menjadi Mejar pada 1 Julai nanti, CPT Azlan gembira akhirnya mengecapi kerjaya yang diidamkan dalam RSAF.

"Kenaikan pangkat ini memberi saya lebih dorongan untuk menyumbang semula kepada pertubuhan itu dengan terus menjadi tekun dalam tugas saya selain melatih para juruterbang di samping seorang pelatih," ujarnya seperti ditukil oleh PIONEER.

Bapa kepada dua cahaya mata lelaki berusia tiga dan empat tahun itu dengan bangganya berkata anak-anaknya mahu mengikut jejak langkah beliau. Setiap kali melihat pesawat terbang lalu di udara, anak-anaknya terus menjadi teruja serta-merta sambil memerhatikan sama ada bapa mereka adalah juruterbang pesawat di langit yang luas terbentang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan