Skip to main content

Singapura

Kapten kapal tangki warga Vietnam ditangkap; terima minyak dicuri dari Shell S'pura

Seorang kapten kapal tangki minyak dipenjara di Singapura atas pelibatannya dalam satu skim yang menyaksikan minyak bernilai sekitar AS$150 juta (S$203 juta) dicuri daripada loji penapisan minyak gergasi tenaga, Shell, menurut pihak berkuasa pada Jumaat (20 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
Kapten kapal tangki warga Vietnam ditangkap; terima minyak dicuri dari Shell S'pura

Gambar fail tapak perindustrin Pulau Bukom di bahagian barat Singapura. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Dec 2019 09:59PM Dikemas Kini : 20 Dec 2019 10:01PM

SINGAPURA: Seorang kapten kapal tangki minyak dipenjara di Singapura atas pelibatannya dalam satu skim yang menyaksikan minyak bernilai sekitar AS$150 juta (S$203 juta) dicuri daripada loji penapisan minyak gergasi tenaga, Shell, menurut pihak berkuasa pada Jumaat (20 Dis).

Pencurian itu dilakukan selama beberapa tahun dari sebuah tapak perindustrian yang besar di Singapura, yang digambarkan oleh firma Inggeris-Belanda itu sebagai salah sebuah pusat pengeluaran paling penting di dunia.

Polis berjaya melumpuhkan skim tersebut, yang menyaksikan minyak dicuri dari sebuah loji penapisan dan dijual pada harga bawah kadar pasaran pada 2018 dengan memberkas beberapa suspek dan merampas sebuah kapal tangki dan wang.

Kapten kapal tangki minyak itu, Doan Xuan Than, dipenjara lima tahun setengah pada Khamis (19 Dis) setelah mengaku menerima minyak yang dicuri bernilai AS$5.7 juta (S$7.7 juta). Ini disahkan oleh pejabat peguam negara.

Lelaki berusia 47 tahun itu berpakat dengan tiga lelaki lain, yang masih berleluasa, dalam satu skim untuk membeli minyak mentah yang dicuri selama hampir dua tahun, menurut dokumen mahkamah.

Minyak tersebut didakwa dibeli secara haram daripada para pekerja Shell dan kemudian dipindahkan ke tapak-tapak di luar Singapura.

Atas peranannya dalam komplot tersebut, Than meraih antara AS$70,000 dengan AS$90,000 (S$95,000 - S$122,000).

Than adalah orang kedua yang dipenjarakan berhubung pencurian besar-besaran itu setelah seorang anak kapal warga Vietnam dari kapal tangkinya dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah pada Julai lalu.

Singapura adalah salah satu hab perdagangan minyak terbesar di dunia dengan sebahagian besar minyak mentah datang dari Timur Tengah, melalui negara ini sebelum ke Asia Timur, dan beberapa syarikat utama minyak mempunyai kilang penapis tempatan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita