Kapten bas SBS Transit, Omri Mohd Yusof dipuji; bantu PMA warga emas tersangkut di tepi jalan ketika hujan
Seorang kapten bas SBS Transit dipuji kerana bertindak pantas membantu seorang wanita warga emas yang alat bantuan mobiliti peribadinya (PMA) tersangkut di tepi jalan ketika hujan.
Kapten bas SBS Transit, Omri Bin Mohd Yusof. (Gambar: Facebook/SBS Transit Ltd)
- Kapten Bas Omri Bin Mohd Yusof dari SBS Transit membantu seorang wanita warga emas yang alat bantuan mobilitinya tersangkut di Jalan Toa Payoh ketika hujan.
- Seorang wanita lain cuba membantu tetapi gagal kerana alat itu terlalu berat, lalu Encik Omri turut serta memberikan bantuan.
- Encik Omri meminta bantuan seorang penumpang bas, dan bersama-sama mereka berjaya mengangkat alat tersebut ke laluan pejalan kaki dalam beberapa minit.
- SBS Transit memuji tindakan pantas Encik Omri dan dua individu lain yang membantu, menekankan kepentingan keprihatinan dalam situasi kecemasan.
Menurut catatan Facebook yang dimuat naik SBS Transit Ltd pada Khamis (30 Jul), Kapten Bas Omri Bin Mohd Yusof sedang memandu bas nombor 153 di Jalan Toa Payoh apabila beliau ternampak seorang wanita warga emas yang menggunakan PMA mengalami kesulitan, beberapa meter dari sebuah perhentian bas.
Seorang lagi wanita yang berada di tempat kejadian dilihat cuba membantu warga emas tersebut, namun tidak berjaya mengangkat PMA berkenaan kerana ia terlalu berat.
Menyedari mereka memerlukan bantuan, Encik Omri memberhentikan bas dengan selamat sebelum keluar meredah hujan untuk membantu kedua-dua wanita itu.
Encik Omri kemudian meminta bantuan daripada seorang penumpang di dalam bas kerana menyedari PMA tersebut terlalu berat untuk diangkat oleh dua orang.
Secara bersama-sama, mereka berjaya mengangkat PMA tersebut ke laluan pejalan kaki dalam tempoh beberapa minit.
Selepas memastikan keselamatan wanita warga emas itu, Encik Omri meneruskan perjalanannya.
SBS Transit dalam catatannya memuji tindakan Encik Omri serta dua individu yang tampil membantu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.