Kapten bas Go-Ahead didakwa diserang, kes kedua dalam tempoh 3 bulan
Seorang kapten bas Go-Ahead Singapore dipercayai diserang ketika bertugas pada 16 Ogos, dalam kejadian kedua seumpamanya melibatkan kapten bas syarikat itu dalam tempoh tiga bulan.
Kejadian dipercayai berlaku ketika kapten bas itu mengendalikan khidmat bas Go-Ahead Nombor 2 pada 16 Ogos 2026. (Gambar: Facebook/Buses in Lion City)
- Seorang kapten bas Go-Ahead Singapore diserang ketika bertugas pada 16 Ogos, menjadikan ini insiden kedua dalam tiga bulan.
- Kejadian berlaku di laluan antara Terminal Changi Village dan Terminal Kampong Bahru, menyebabkan perjalanan bas terganggu dan kapten mendapatkan rawatan di Hospital Besar Changi.
- Go-Ahead Singapore dan NTWU menegaskan keselamatan kakitangan adalah keutamaan, serta tidak bertolak ansur terhadap keganasan atau penderaan.
- NTWU memberi sokongan kepada kapten termasuk bantuan guaman, dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memperkukuh perlindungan pekerja pengangkutan awam.
Laporan polis sudah dibuat dan Go-Ahead menyatakan pada Khamis (27 Ogos) bahawa ia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Kejadian berlaku sekitar 5.20 petang ketika kapten bas itu mengendalikan khidmat bas Nombor 2, yang beroperasi antara Terminal Changi Village dengan Terminal Kampong Bahru.
Perjalanan bas tersebut terganggu susulan kejadian itu.
Kapten bas berkenaan mendapatkan rawatan bagi kecederaannya di Hospital Besar Changi dan sudah kembali bertugas.
"Kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penderaan atau keganasan terhadap kakitangan kami, yang menjalankan tugas setiap hari bagi memastikan para penumpang sampai ke destinasi dengan selamat," menurut Go-Ahead.
Syarikat itu menambah bahawa keselamatan dan kesejahteraan kakitangannya kekal menjadi keutamaan.
KES KEDUA DALAM TEMPOH TIGA BULAN
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Pengangkutan Nasional (NTWU) Yeo Wan Ling berkata pada Jumaat (28 Ogos) bahawa kejadian itu membimbangkan kerana ia merupakan kes kedua seumpamanya melibatkan kapten bas Go-Ahead dalam tempoh tiga bulan.
"Penderaan dan keganasan terhadap pekerja pengangkutan awam tidak boleh dianggap perkara biasa atau diterima sebagai sebahagian daripada tugas mereka," kata Cik Yeo.
Beliau menambah bahawa perselisihan dan rasa tidak puas hati mungkin timbul semasa perjalanan, namun ia boleh dan seharusnya diselesaikan tanpa menggunakan penderaan atau keganasan.
Seorang wakil kesatuan sekerja turut menemani kapten bas tersebut ke Hospital Besar Changi.
Menurut Cik Yeo, NTWU akan terus memberikan sokongan kepada kapten bas berkenaan, termasuk bantuan guaman jika diperlukan.
Kesatuan itu juga akan terus bekerjasama dengan pengendali pengangkutan dan pihak berkuasa berkaitan bagi memperkukuh perlindungan terhadap para pekerja serta memastikan mereka dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang selamat dan saling menghormati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.