Skip to main content

Singapura

Kapal tangki SG berlanggar pengangkut pukal Malta dekat Tanah Merah

Sebuah kapal tangki Singapura berlanggar dengan kapal pengangkut pukal berdaftar Malta pada pagi Isnin (1 Sep), kira-kira lapan kilometer ke selatan Tanah Merah, menyebabkan tumpahan minyak gas marin ke laut.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Kapal tangki SG berlanggar pengangkut pukal Malta dekat Tanah Merah

Kapal tangki Marine Dynamo. (Gambar fail: Chevron)

SINGAPURA: Sebuah kapal tangki Singapura berlanggar dengan kapal pengangkut pukal berdaftar Malta pada pagi Isnin (1 Sep), kira-kira lapan kilometer ke selatan Tanah Merah, menyebabkan tumpahan minyak gas marin ke laut.

Kejadian itu berlaku pada pukul 9.25 pagi pada Isnin, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), sambil menambah bahawa semua anak kapal daripada kedua-dua kapal selamat dan sudah dikenal pasti.

Seorang anak kapal Marine Dynamo, iaitu kapal tangki berdaftar Singapura, dilaporkan mengalami lebam dan terseliuh ringan.

“Nakhoda Marine Dynamo melaporkan bahawa Minyak Gas Marin yang digunakan untuk menggerakkan kapal dan disimpan di tangki perkhidmatan, di atas paras air, tertumpah akibat perlanggaran itu,” tambahnya.

Minyak gas marin, iaitu bahan api ringan mirip diesel, dijangka mudah meruap (evaporate) dalam persekitaran semula jadi.

MPA menyatakan bahawa ia sudah mengerahkan bot rondaan dan bot maklum balas tumpahan untuk menjalankan siasatan serta memberi bantuan, termasuk bagi menghapuskan lapisan minyak tersebut.

Dron juga sudah dikerahkan untuk memantau keadaan.

Siaran navigasi turut dikeluarkan bagi memaklumkan kapal-kapal yang melalui kawasan berkenaan. Tiada kesan ditemui terhadap keselamatan navigasi, menurut MPA.

Kapal berdaftar Malta yang terlibat dalam kejadian tersebut ialah Flag Gangos.

MPA menambah bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita