Kapal tangki minyak SG, SUCCESS 9 ditemui dekat Ivory Coast; semua 20 anak kapal dilapor selamat
Tangki minyak Success 9. (Gambar: Hai Soon Group)
SINGAPURA: Kapal tangki minyak berdaftar Singapura, SUCCESS 9 yang dinaiki beberapa individu tidak dikenali sekitar 570 kilometer dari Ivory Coast, Afrika Barat pada Isnin (10 Apr), sudah ditemui pada Sabtu (15 Apr) malam.
Kesemua 20 anak kapalnya, termasuk seorang warga Singapura, juga selamat.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal pagi Ahad (16 Apr), Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata kapal itu ditemui di luar pantai bandar Abidjan, oleh sebuah kapal komersil, MONJASA SPRINTER.
Kapal itu telah menerima panggilan kecemasan daripada SUCCESS 9 dan MPA akhirnya dimaklumkan sekitar pukul 5.00 petang.
MPA, yang bekerjasama rapat dengan pemilik SUCCESS 9, HS Ocean serta agensi berbilang negara melalui Pusat Gabungan Maklumat (IFC) dan Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim Wilayah Monrovia (MRCC), kemudiannya memaklumkan kepada kedua-dua pusat tersebut.
Sebuah kapal peronda dari tentera laut Ivory Coast dikerahkan untuk mengesahkan dan menaiki kapal itu, dan semua anak kapal didapati "selamat dan dalam keadaan sihat".
Kapal itu sudah tiba di pelabuhan Abidjan.
MPA menasihatkan semua kapal berdaftar Singapura supaya berhati-hati dan melaksanakan garis panduan dalam Amalan Pengurusan Terbaik Afrika Barat (BMP WA) [1], apabila beroperasi di rantau itu untuk mengurangkan ancaman berkaitan lanun.
Dalam operasi pencarian SUCCESS 9, MPA bekerjasama dengan pelbagai agensi di rantau itu termasuk Perdagangan Kesedaran Domain Maritim - Teluk Guinea, bersama-sama dengan pasukan keselamatan serantau, tentera laut Perancis, pengawal pantai dan pentadbiran maritim dari Ivory Coast, Ghana, Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria. Semua kapal komersil berhampiran dan yang lalu di perairan itu juga diberi isyarat untuk membantu mencari SUCCESS 9.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.