Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kapal SG diserang "peluru yang tidak dikenal pasti" di Teluk Aden; anak kapal selamat

Anggaran Waktu Membaca:
Kapal SG diserang "peluru yang tidak dikenal pasti" di Teluk Aden; anak kapal selamat

(Gambar: VesselFinder/Manuel Hernández)

SINGAPURA: Sebuah kapal berdaftar Singapura diserang oleh peluru yang tidak dikenal pasti di tenggara Yaman pada Jumaat (19 Jul), menurut Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA).

Pada pukul 10.30 pagi, MPA diberitahu sebuah kapal kontena LOBIVIA diserang ketika melalui Teluk Aden, menyebabkan kebakaran di atas kapal yang kemudian dipadamkan oleh anak kapal.

Tiada warganegara Singapura dalam kalangan anak kapal, yang semuanya selamat, menurut pihak berkuasa.

Walaupun diserang, kapal LOBIVIA masih boleh berlayar dan tiba di pelabuhan Berbera di Somalia.

Penilaian kerosakan dan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan, akan dijalankan.

MPA menyatakan ia sedang berhubung dengan pengurus kapal LOBIVIA untuk menyediakan bantuan yang diperlukan, sambil menambah bahawa Angkatan Tentera Laut Republik Singapura (RSN) juga sudah memaklumkan kepada rakan keselamatan di wilayah Teluk Aden untuk menyediakan bantuan yang diperlukan.

Menurut Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom, kapal LOBIVIA diserang sekitar 83 batu nautika (154 kilometer) di tenggara bandar pelabuhan Aden, Yaman.

"Kapal itu dalam perjalanan ke timur laut di Teluk Aden apabila sebuah kapal dagang berdekatan melihat 'cahaya dan letupan' di mana kapal itu (LOBIVIA) berada," tambah firma keselamatan Britain, Ambrey.

Ambrey menyatakan kapal itu kelihatan melakukan gerakan mengelak serta-merta dan mematikan sistem pengenalan automatiknya kira-kira sejam kemudian.

Ia menilai bahawa kapal LOBIVIA sejajar dengan profil sasaran yang diburu puak Houthi.

Sejak November, puak Houthi di Yaman melancarkan serangan dron dan peluru berpandu di laluan perkapalan di Laut Merah dan Teluk Aden. Kumpulan itu menyatakan tindakannya adalah sebagai tanda perpaduan dengan rakyat Palestin yang terjejas akibat perang Israel di Gaza.

Britain dan Amerika melancarkan serangan balas sejak Februari lalu, menembak jatuh dron dan mengebom tapak serangan di Yaman.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan