Kapal sekat Terusan Suez boleh ganggu bekalan ke rantau ini: Ong Ye Kung
Pengendali pelabuhan PSA mungkin berdepan gangguan jadual jika laluan di Terusan Suez terus terhalang akibat sebuah kapal kargo yang terkandas, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Khamis (25 Mac).

Kapal kargo Ever Given yang terkandas di Terusan Suez (Gambar: AFP/Planet Labs)
SINGAPURA: Pengendali pelabuhan PSA mungkin berdepan gangguan jadual jika laluan di Terusan Suez terus terhalang akibat sebuah kapal kargo yang terkandas, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Khamis (25 Mac).
Dalam catatan di Facebook, Encik Ong menyifatkan kejadian itu seperti sebatang pokok besar yang tumbang di Ekspreswe Central (CTE) yang menjejas setiap lebuh raya lain yang terhubung dengannya.
"Ini bermakna bekalan ke rantau ini mungkin terganggu buat sementara waktu," tulisnya.
"Sekiranya itu terjadi, pengeluaran daripada inventori akan menjadi perlu."
Terusan Suez adalah laluan pintas penting antara Asia dengan Eropah kerana kapal-kapal tidak perlu mengemudi ke penghujung selatan Afrika. Kira-kira 30 peratus daripada jumlah kontena penghantaran di dunia melintasi terusan sepanjang 193 kilometer itu setiap hari.
Encik Ong berkata bahawa untuk melayari keliling benua Afrika, ia bermaksud perjalanan akan memakan masa satu atau dua minggu lebih lama.
"Sekiranya gangguan itu berpanjangan, PSA mungkin mengalami gangguan jadual apabila kapal-kapal mengubah laluan perjalanan mereka. Ia harus merancang lebih awal dan memastikan operasi tetap lancar," tambahnya.
"Ini adalah satu lagi kejadian malang yang menggambarkan bagaimana dunia sekarang sangat terhubung rapat."
Kapal Ever Given sepanjang 400 meter, iaitu antara kapal kargo terbesar di dunia, tersekat di lorong tunggal terusan selatan pada Selasa pagi.
Ia kehilangan keupayaan untuk mengemudi ketika angin kencang dan ribut debu, lalu terkandas pada haluan yang menyekat pergerakan di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia itu.
Operasi pemulihan kapal itu boleh memakan masa "beberapa hari atau minggu", kata ketua sebuah syarikat penyelamat Belanda yang telah menghantar para pakar untuk membantu dalam tugas tersebut.
"Kami tidak boleh menolak kemungkinan ia memakan waktu berminggu-minggu, bergantung kepada keadaan," kata Peter Berdowski, CEO syarikat Belanda, Boskalis.
Sebanyak 156 kapal kontena besar, kapal tangki yang membawa minyak dan gas, dan kapal pukal yang mengangkut biji-bijian telah mundur ke salah satu hujung terusan itu, menurut Agensi Leith Mesir, menjadikannya salah satu kesesakan perkapalan terburuk dalam bertahun-tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.