Kapal pesiaran ke luar negara mungkin diadakan jelang hujung tahun: STB

(Gambar: Royal Caribbean)
SINGAPURA: Penduduk yang ingin melancong mungkin boleh menaiki kapal-kapal pesiaran yang menuju ke destinasi-destinasi antarabangsa dari Singapura menjelang hujung tahun ini.
Demikian menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Rabu (6 Apr), sedang kapal baru Royal Carribbean bersiap sedia untuk memulakan musimnya di sini.
"Kami kini sedang berbincang dengan beberapa pemerintah negara Asia Tenggara untuk melakar piawai pelayaran selamat. Destinasi-destinasi pelayaran ini termasuk Bali, Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Phuket," menurut Pengarah Pelayaran STB Annie Chang sewaktu menjawab pertanyaan Mediacorp.
"Kami berharap dapat menawarkan pelayaran ke destinasi-destinasi antarabangsa dari Singapura menjelang hujung tahun ini."
Setakat ini, pelayaran hanya berpusing ulang-alik daripada Singapura tanpa berlabuh di mana-mana pelabuhan.
Tawaran terbaru Spectrum of the Seas di bawah Royal Caribbean International tiba di lautan Singapura pada Mac untuk musim pertamanya di rantau ini. Ia akan memulakan "pelayaran tanpa destinasi" yang dipanggil "Ocean Getaways" ("Cuti-cuti di Laut") selama tiga dan empat malam pada 11 April.
Semasa ditanya oleh Mediacorp, Royal Caribbean menyatakan rancangan itu akan diteruskan.
"Para pelancong boleh menantikan pelayaran menakjubkan ke Malaysia, Thailand dan Vietnam selama tiga hingga sembilan malam, mulai 21 Oktober 2022," menurut pengendali kapal pesiaran tersebut.
"Penyambungan semula pelayaran ke destinasi-destinasi masih tertakluk kepada kelulusan daripada pihak penguasa Singapura berdasarkan situasi kesihatan semasa dan langkah-langkah sempadan."
Cik Chang menyatakan ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk pengendali kapal pesiaran mendedahkan pelayaran-pelayaran ke destinasi-destinasi tertentu untuk ditempah terlebih dahulu atas sebab-sebab perniagaan.
"Kami faham orang ramai berasa teruja dengan jadual-jadual pelayaran yang mendarat di tempat pelabuhan dan sedia maklum yang perasaan ini diperlukan untuk kemampanan dan tarikan kapal pelayaran," tambahnya.
Mulai 11 April, Royal Caribbean akan membuka pintunya kepada penumpang-penumpang antarabangsa buat julung-julung kalinya sejak pandemik COVID-19.
Pelayaran tanpa destinasi dari Singapura sebelum ini hanya ditawarkan kepada penduduk Singapura dan pemegang pas jangka panjang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.