Kapal persiaran pertama berlepas malam ini dari Pusat Persiaran Marina Bay
Kapal persiaran kembali beroperasi di negara ini selepas dihentikan hampir lapan bulan kerana COVID-19.
SINGAPURA: Kapal persiaran kembali beroperasi di negara ini selepas dihentikan hampir lapan bulan kerana COVID-19.
Kapal persiaran pertama akan berlepas dari Pusat Persiaran Marina Bay pada malam ini (6 Nov) di bawah satu skim perintis bagi pelayaran tanpa destinasi dengan melaksanakan protokol keselamatan yang ketat.
Selama lebih kurang lapan bulan, pusat persiaran itu kosong.
Bagaimanapun keadaannya kembali sibuk sedikit dengan ketibaan penumpang bagi pelayaran sulung dari Singapura malam ini.
Kapal persiaran syarikat Genting Cruise Lines akan belayar tanpa singgah di pelabuhan-pelabuhan lain sebelum pulang pada pagi lusa (8 Nov).
Bagi pelayaran itu, kapal tersebut hanya membawa kira-kira 1,700 penumpang, semuanya penduduk Singapura.
Jumlah penumpang itu hanya separuh daripada kapasitinya.
Bagi mencegah penularan virus COVID-19, pihak penguatkuasa melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang ketat.
Semua penumpang wajib menjalani ujian mengesan COVID-19.
Pihak pengendali kapal pula mesti mempunyai surat pengesahan Persiaran Selamat yang menetapkan mutu kebersihan yang ketat.
Misalnya, ia harus memastikan 100 peratus aliran udara bersih di seluruh kapal dan melaksanakan langkah-langkah agar tidak ada pergaulan antara kumpulan-kumpulan.
Selain itu perlu ada rancangan bertindak kecemasan, sekiranya ada kes positif COVID-19 di kapal.
Langkah-langkah pencegahan lain seperti pakai pelitup dan jarak selamat masih perlu dipatuhi.
Di samping itu kakitangan kapal perlu sentiasa menjalani ujian COVID-19.
Kapal persiaran kedua, Royal Caribbean International, akan melakukan pelayaran di bawah skim perintis itu pada bulan depan.
Perkembangan selanjutnya bergantung kepada hasil pelayaran di bawah skim perintis itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.