Kapal kargo ditunda ke S'pura selepas terbakar; kini jalani kerja pembaikan
Kapal kargo yang ditunda ke Singapura selepas sebuah bilik enjinnya terbakar kini sedang menjalani kerja-kerja pembaikan, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Sabtu (10 Jul).
MV MSC Messina dilaporkan kebakarannya ketika dalam perjalanan ke Selat Melaka. (Gambar :AFP)
SINGAPURA: Kapal kargo yang ditunda ke Singapura selepas sebuah bilik enjinnya terbakar kini sedang menjalani kerja-kerja pembaikan, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Sabtu (10 Jul).
Kebakaran itu berlaku pada 25 Jun di Teluk Benggala ketika kapal MSC Messina, yang berdaftar di Liberia, sedang melakukan pelayaran dari Sri Lanka ke Singapura.
Selepas kebakaran dipadamkan, MSC Messina ditunda ke Singapura dan tiba di sini pada 6 Jul, di mana kontena-kontenanya diturunkan dari kapal.
"MPA juga membantu membawa pulang jenazah seorang anggota anak kapal yang meninggal dunia ke negara asalnya," menurut penguasa itu.
Enam anak kapal kini sedang menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari di sebuah kemudahan khas. Mereka akan kembali ke kapal selepas menjalani SHN dan diuji negatif COVID-19. MPA turut mendedahkan bahawa mereka juga akan diletakkan di bawah ujian rutin berjadual.
Aturan sudahpun dibuat untuk membawa pulang anak-anak kapal yang lain.
MSC Messina adalah kapal kedua yang terbakar di Lautan Hindi sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas kapal berdaftar di Singapura, MV X-Press Pearl, dijilat api dan karam di Colombo pada Jun lalu.
MV X-Press Pearl membawa muatan besar kimia serta plastik dan kemalangan itu menyebabkan pencemaran yang sangat ketara pada ekosistem marin Sri Lanka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.