Skip to main content

Singapura

Kapal daftar SG terkena objek tidak dikenal pasti di Selat Hormuz, alami kerosakan kecil

Anggaran Waktu Membaca:
 Kapal daftar SG terkena objek tidak dikenal pasti di Selat Hormuz, alami kerosakan kecil

Kapal tangki dan kargo dilihat di Teluk Oman, di laluan perkapalan ke Selat Hormuz dan Lautan Arab, 16 Jun 2026. (Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 26 Jun 2026 05:31PM
SINGAPURA: Sebuah kapal kontena berdaftar Singapura mengalami kerosakan kecil akibat terkena objek yang tidak dikenal pasti ketika melalui Selat Hormuz, menurut kenyataan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Jumaat (26 Jun).

Kapal berkenaan, Ever Lovely, terkena tembakan pada kira-kira pukul 10.00 malam waktu Singapura pada Khamis (25 Jun) ketika ia sedang keluar dari laluan laut strategik itu, yang merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.

Kerosakan dilaporkan berlaku pada anjung kapal tersebut.

MPA menyatakan bahawa kapal itu sudah selesai melalui Selat Hormuz dan sedang meneruskan pelayarannya.

Kesemua 21 anak kapal yang berada di atas kapal berkenaan dilaporkan selamat, dan tiada warga Singapura dalam kalangan mereka.

MPA menyatakan pihaknya akan terus berhubung rapat dengan syarikat pengurusan kapal tersebut dan akan memberi sebarang bantuan yang diperlukan.

"MPA amat bimbang dengan insiden ini, yang berlaku tanpa sebarang provokasi, tidak munasabah dan merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa," menurut pihak berkuasa itu.

"Semua tindakan yang menjejaskan perkapalan antarabangsa mestilah mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut, dan tidak membahayakan keselamatan pelaut serta kapal di laut."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita