Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kapal berdaftar di S'pura dinasihatkan supaya berwaspada selepas kapal tangki minyak terkena letupan di Saudi

Semua kapal berdaftar di Singapura yang beroperasi di dalam dan sekitar Arab Saudi harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Dec 2020 12:46PM Dikemas Kini : 16 Dec 2020 09:15PM

SINGAPURA: Semua kapal berdaftar di Singapura yang beroperasi di dalam dan sekitar Arab Saudi harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).

Ini selepas sebuah kapal tangki minyak terkena letupan, menurut MPA.

Tiada rakyat Singapura berada di atas kapal tersebut dan kesemua anak kapal selamat, tambah MPA dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp pada Rabu (6 Dis) berkenaan insiden tersebut.

Pada Isnin sekitar 12.40 tengah malam (5.40 pagi, waktu Singapura) kapal tangki minyak berdaftar di Singapura, BW Rhine, berada di Pelabuhan Jeddah semasa kejadian itu berlaku.

"Kapal itu berlabuh di pelabuhan tersebut bagi operasi memunggah semasa letupan itu berlaku. Pengendali kapal itu melaporkan bahawa kapal tersebut telah dilanggar oleh 'sumber luar'," menurut MPA.

Media Saudi menyifatkan kejadian itu sebagai satu "serangan pengganas" tetapi tidak pula mendedahkan siapakah dalang di sebalik serangan itu.

BW Rhine, yang dimiliki dan dikendalikan oleh Hafnia, masih menilai kemusnahan pada bahagian badan kapal itu, menurut MPA. Tiada laporan mengenai pencemaran air diterima, menurut kenyataan MPA.

Dalam makluman yang dikeluarkan pada Selasa, MPA turut menegaskan bahawa semua kapal berdaftar di Singapura mesti mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa pelabuhan yang relevan.

Menurut MPA, pihaknya sedang membantu syarikat berkenaan dan menyiasat insiden tersebut.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, Hafnia menyatakan bahawa punca insiden itu "bukan untuk kita sebagai pemilik kapal untuk membuat spekulasi, tetapi untuk ditentukan oleh pihak berkuasa yang relevan". 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan