Kapak kes pembunuhan Sekolah River Valley High dibeli online, dedah K Shanmugam
Siasatan awal membayangkan sebilah kapak yang dirampas sebagai bukti dalam kes kematian pelajar Sekolah River Valley High dibeli online, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Selasa (20 Jul).
Kereta polis tiba di Sekolah Tinggi River Valley pada 19 Jul 2021. (Gambar: Calvin Oh)
SINGAPURA: Siasatan awal membayangkan sebilah kapak yang dirampas sebagai bukti dalam kes kematian pelajar Sekolah River Valley High dibeli online, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Selasa (20 Jul).
Pada pagi tadi, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa atas tuduhan membunuh seorang pelajar berusia 13 tahun di tandas sekolah tersebut semalam.
Dalam catatan Facebooknya, Encik Shanmugam berkata soalan-soalan ditanya tentang bagaimana pelajar itu mendapatkan kapak berkenaan.
Siasatan awal menunjukkan bahawa ia dibeli online, namun "kita hanya akan tahu fakta penuh apabila siasatan selesai dijalankan", kata Encik Shanmugam.
Encik Shanmugam menambah: "Salah satu daripada perkara buruk yang boleh berlaku kepada para ibu bapa adalah mendapat tahu daripada pihak sekolah bahawa anak mereka dibunuh.
"Ia sangat mengejutkan kerana keselamatan dianggap dan lazimnya terjamin di Singapura."
Tertuduh dan mangsa masing-masing merupakan pelajar Menengah 4 dan Menengah 1 Sekolah River Valley High.
Siasatan awal mendedahkan bahawa mereka tidak saling mengenali namun polis berkata sebelum ini bahawa pihak berkuasa akan terus menyiasat motif di sebalik serangan itu.
Encik Shanmugam turut menarik perhatian kepada "sejarah isu kesihatan mental" yang mungkin terbabit dalam kes tersebut.
Pihak pendakwa pada Selasa berkata bahawa pelajar berkenaan sebelum ini mendapatkan rawatan sebagai pesakit di Institut Kesihatan Mental (IMH).
"Pada 2019, polis menangani percubaan bunuh diri membabitkan tertuduh yang berusia 14 tahun pada ketika itu. Menyusuli kejadian itu, dia ditahan demi keselamatannya dan dirujukkan kepada IMH bagi penilaian lanjut. Dia kemudian dibenarkan pulang," katanya kepada mahkamah.
Peguam remaja itu mengesahkan bahawa insiden tersebut berlaku ketika anak guamnya di Menengah 2.
Remaja itu kemudian ditahan reman bagi pemantauan psikiatri dan akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 10 Ogos.
Polis sebelum ini menggesa orang ramai supaya jangan membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut demi menghormati keluarga mangsa.
"Kami turut bersedih dengan ibu bapa mangsa. Sukar untuk menggambarkan kedukaan yang sedang dialami," kata Encik Shanmugam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.