Skip to main content

Singapura

Kanvas Tertinggi Dunia: UOB Raikan 90 Tahun Dengan Paparan Cahaya 30 Karya Seni

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bangunan ikonik UOB Plaza di Shenton Way kini bertukar wajah menjadi kanvas seni gergasi sempena ulang tahun ke-90 UOB dan sambutan SG60.

Projek itu bukan sekadar persembahan visual.

Ia mencipta sejarah dunia dengan pengiktirafan tiga rekod Guinness sebagai unjuran cahaya tertinggi, paling terang dan paling panjang pernah dilakukan pada sebuah bangunan tunggal.

KANVAS SENI GERGASI: SIMBOL SOKONGAN UOB TERHADAP DUNIA SENI

UOB bukanlah nama asing dalam dunia seni tempatan.

Ia secara konsisten menyokong seniman dan komuniti seni menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Anugerah Lukisan Terbaik Tahunan UOB, yang kini merupakan pertandingan seni paling lama di Asia Tenggara.

"Selama lebih 43 tahun, UOB telah menyokong seni, para seniman dan masyarakat seni. Di antara sebabnya adalah kerana seni berkait rapat dengan budaya.

"Ia tentang memahami. Ia juga tentang bagaimana kita membantu masyarakat untuk saling menyokong dalam memberi dan memupuk nilai bersama.

"Bagi kami, seni adalah suatu cara perbankan di mana kami membina pemahaman dan membina hubungan.

"Melalui seni, kita boleh merasai ketenangan, rasa selamat, dan menikmati keindahan," ujar Ketua Kumpulan Saluran dan Pendigitalan serta Kumpulan Strategik bagi Komunikasi dan Jenama UOB, Janet Young kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Bermula Jumaat lalu (27 Jun), menara setinggi 280 meter itu disinari paparan cahaya digital yang menampilkan 30 karya terpilih, termasuk karya pemenang Anugerah Lukisan Terbaik UOB daripada dua seniman Melayu tempatan.

Karya seniman Abu Jalal Sarimon dipancarkan bersama 29 karya terbaik buat beberapa kali setiap malam dari Jumaat 27 Jun sehingga 9 Ogos bermula 7.30 malam. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

Salah seorang daripadanya ialah seniman mapan Abu Jalal Sarimon, pemenang Anugerah Emas bagi kategori Seniman Berpengalaman pada tahun 2017.

"Puas hati kerana mendapat satu anugerah yang ramai idam-idamkan dan kita pun tak sangka yang kita akan memenangi anugerah ini.

"Ia mendatangkan satu hasil yang cukup lumayan bukan sahaja dari segi pengiktirafan, dari segi kewangan dan dari situ banyak pintu-pintu peluang dibuka kepada saya untuk berkarya dan meneruskan kerjaya saya sebagai seorang seniman sepenuh masa," kongsinya.

Encik Abu Jalal teruja karyanya ditampilkan dalam projek berskala dunia itu.

Encik Abu Jalal Sarimon papar naratif ketabahan yang menyingkap perjuangan, jatuh-bangun dan kecekalan sebuah entiti yang ingin terus berjaya, menerusi lukisannya. (Gambar: BERITA Mediacorp/ Roslinda Rahmat)

"Apabila saya dihubungi oleh pihak UOB mengatakan mereka akan meletakkan saya sebagai salah seorang seniman yang akan dipaparkan karya dan akan ditonjolkan dalam projek mereka yang yang memecahkan rekod dunia, saya sangat teruja lah.

"Sujud Syukur juga kepada Allah kerana ini merupakan satu pengiktirafan kepada seorang seniman kecil seperti kita dari komuniti yang kecil.

"Mendorong saya untuk menjadi lebih yakin dengan apa yang saya lakukan untuk menjadikan satu pelantar untuk saya melonjak lebih tinggi dan lebih jauh," ujar Encik Abu Jalal.

KARYA SARAT NILAI

Karyanya yang bertajuk 'Triumph Over Heavy Blows' membawa naratif ketabahan yang menyingkap perjuangan, jatuh bangun dan kecekalan sesebuah entiti yang ingin terus berjaya.

"Karya saya mengisahkan tentang bagaimana UOB, satu syarikat kewangan yang cukup besar, bertahan selama 90 tahun. Dan mereka bergerak secara dinamik, secara progresif, secara sistematik. Ada jatuh dan bangunnya.

"Jadi karya saya menunjukkan bagaimana seseorang itu jatuh berkali-kali dalam mereka ingin mencuba sesuatu untuk menjayakan sesuatu. Dan setiap kali dia jatuh, dia belajar. Setiap kali dia di bawah, dia akan cuba panjat lagi untuk naik dan belajar dari setiap kesilapan."

Beliau menambah, karya itu mencerminkan tekad yang tidak goyah.

"Kalau aku nak berjaya, apa sekalipun - jatuh, aku bankrap, aku dinista atau aku dikeji – tapi tujuan aku ialah bulat: aku ingin berjaya dengan apa yang hendak aku capai. Dan aku belajar dari setiap kesilapan yang aku lalu," katanya.

Apa yang membezakan karya beliau, katanya, ialah keberanian dalam menyampaikan mesej dan penggunaan elemen visual yang menonjol.

"Kebanyakan karya yang dipaparkan atau yang diterima oleh UOB setiap tahun dalam pertandingan karya mereka, banyak karya-karya yang berbentuk dan skema atau modul warna yang agak selamat atau 'safe artwork'. Tapi saya bukan seorang pelukis yang jatuh dalam kategori itu.

"Lukisan saya lebih garang, warna-warna yang lebih mencabar. Karektor-karektor yang saya paparkan dengan mimik-mimik muka yang menunjukkan keadaan dan situasi semasa. Jadi ia menjadi suatu karya seni yang segar bila dipaparkan di bangunan yang cukup tinggi, yang cukup besar dan memberi kekuatan kepada projek yang UOB lakukan," tambahnya.

Selain karya Encik Abu Jalal, lukisan pemenang Anugerah Emas Lukisan Terbaik 2023 bagi kategori Seniman Muda, Nurul Afiqah Mohamad Shaima, turut dipilih untuk ditayangkan di muka bangunan UOB Plaza.

Paparan visual animasi selama enam minit itu dapat disaksikan orang ramai bermula 7.30 malam setiap hari selama enam minggu sehingga sambutan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita