Skip to main content

Singapura

Kanak-kanak sekecil 5 tahun kini diajar tentang strok

Kanak-kanak sekecil lima tahun lagi di Singapura kini sudah diberi pendedahan untuk mempelajari semuanya tentang strok - daripada apakah tanda-tanda seseorang diserang angin ahmar, apa yang menyebabkan mangsa dalam keadaan sedemikian dan apakah langkah selanjutnya yang perlu diambil.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Nov 2020 10:00PM Dikemas Kini : 06 Nov 2020 08:51AM

BERITAmediacorp: Kanak-kanak sekecil lima tahun lagi di Singapura kini sudah diberi pendedahan untuk mempelajari semuanya tentang strok - daripada apakah tanda-tanda seseorang diserang angin ahmar, apa yang menyebabkan mangsa dalam keadaan sedemikian dan apakah langkah selanjutnya yang perlu diambil.

Program kesedaran dan pengetahuan itu dilaksanakan pada Oktober, di bawah program digital dipanggil FAST Heroes 995 - hasil kerjasama antara Persatuan Strok Kebangsaan Singapura (SNSA) dengan Angels Initiative dari syarikat farmaseutikal, Boehringer Ingelheim.

"Dengan keadaan COVID-19, ramai mungkin keberatan untuk pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Namun ia sangat penting bagi keluarga untuk mengenal pasti apabila strok berlaku, untuk segera mendapatkan bantuan demi mencegah komplikasi," kata Dr Joerg Kreuzer, Pengarah Perubatan Serantau Boehringer Ingelheim.

Related article image

Antara mereka yang membantu dalam perancangan FAST Heroes 995. 

Ini merupakan kali pertama inisiatif meningkatkan kesedaran tentang strok disasarkan kepada kanak-kanak di Singapura.

Sekurang-kurangnya 500 kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun mendaftar bagi program ini, dengan ramai lagi mengikuti program onlinenya.

SEPERTI APA FAST HEROES 995?

Program FAST Heroes dijalankan secara online sepenuhnya disebabkan keterbatasan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Untuk memudahkan kanak-kanak lebih faham tentang penyakit strok, mereka diajak menyertai pengembaraan watak Timmy - seorang wira cilik yang kononnya perlu melawan 'Evil Clot' (darah beku jahat) untuk menyelamatkan datuk dan neneknya.

Related article image

Ia cukup menarik - ada permainan online dan penceritaan menerusi e-buku interaktif. Animasi turut digunakan untuk memikat kanak-kanak.

Semuanya percuma dan boleh diikuti di laman FAST Heroes 995

Sebanyak 500 buku cerita FAST Heroes 995 juga dicetak dan diagihkan bersama pek-pek aktiviti, kepada kanak-kanak yang mendaftar awal.

Related article image

Sempena Hari Strok Sedunia pula, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) 'turun padang' untuk menganjurkan dua sesi bercerita secara online.

DHIA SOFEA, 6 TAHUN, KINI TAHU APA YANG DIHADAPI DATUKNYA

Menariknya, apa yang akhirnya dipelajari cukup mudah difahami.

Salah seorang peserta program, Dhia Sofea, enam tahun, bahkan sudah 'hafal' gejala awal strok.

Related article image

"Face - muka 'senget'," kongsi Dhia kepada BERITAmediacorp.

FAST adalah akronim yang diajarkan kepada para peserta program - yang mana A pula adalah 'arm weakness' (kelemahan lengan) dan S, 'speech difficulty' (kesukaran bercakap).

T adalah 'time to call 995' (masa untuk hubungi 995).

Melihat anaknya sudah cukup mengerti tentang strok, ia sedikit sebanyak memberi Cik Norliza Hussain kelegaan.

Related article image

"Sekurang-kurangnya dia tahu tanda-tanda yang harus dia lihat untuk mengenal pasti strok. Jika dia berseorangan dengan neneknya, mungkin dia akan dapat menghubungi ambulans," kata Cik Norliza.

Beliau akur, anak tunggalnya itu memang tidak tahu-menahu apakah itu strok sebelum ini, meski bapa mentuanya kini terlantar di katil disebabkan serangan angin ahmar.

"Dhia tertanya-tanya mengapa datuk tak boleh bangun, tak boleh jalan, dan tak boleh bercakap. Jadi inilah masanya saya rasa yang terbaik untuk dia menyertai program FAST Heroes ini," tambah Cik Norliza.

SNSA RANCANG PERLUAS PROGRAM KEPADA TADIKA, SEKOLAH RENDAH

SNSA memberitahu BERITAmediacorp, pihaknya ada rancangan untuk 'membawa' FAST Heroes 995 ke tadika dan sekolah-sekolah rendah dalam tempoh setahun akan datang.

Ini ingin dilakukan dengan menganjurkan sesi bercerita, permainan dan pelbagai kegiatan FAST Heroes 995 di sekolah atau bilik darjah.

Related article image

"Golongan datuk dan nenek yang berisiko tinggi mengalami angin ahmar, sering menjaga dan meluangkan masa bersama cucu-cucu di rumah. Melalui program ini, kami ingin menggalakkan ikatan antara generasi dalam keluarga di mana kanak-kanak boleh berkongsi tentang perkara yang mereka pelajari tentang angin ahmar," kongsi jurucakap SNSA, Cik Lim Peck Kee.

Yang jelas, usaha baik seperti ini akan dapat menyelamatkan banyak nyawa.

Related article image

Menurut Pertubuhan Strok Sedunia, satu dari setiap empat orang dewasa berisiko mengalami strok dan 80 peratus serangan angin ahmar sebenarnya dapat dicegah.

"Penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja. Jadi saya galakkan ibu bapa untuk memperkenalkan program FAST Heroes ini kepada anak mereka supaya mereka lebih peka dan beri bantuan dalam masa-masa kecemasan," gesa Cik Norliza.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita