Kanak-kanak prasekolah kongsi harapan sempena NDP, Hari Kebangsaan
Ada yang ghairah mahu menonton bunga api manakala ada pula yang tidak sabar mahu melihat jet-jet pejuang terbang lalu.
SINGAPURA: Ada yang ghairah mahu menonton bunga api manakala ada pula yang tidak sabar mahu melihat jet-jet pejuang terbang lalu.
Demikian reaksi kanak-kanak prasekolah Iyad Perdaus yang teruja menantikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) esok (9 Ogos).
Bagaimanapun bagi mereka, sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang ke-55 sudahpun bermula pada Jumaat (7 Ogos).

Anak-anak didik Iyad Perdaus melakukan menghasilkan kraf tangan sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan.
SAMBUTAN BEZA TAPI TIDAK KURANG GAH
Berbaju serba merah putih, kanak-kanak prasekolah itu tiba di sekolah mereka di Jurong East itu dengan penuh keceriaan. Apakan tidak, pelbagai program menarik sempena Hari Kebangsaan sudahpun diatur untuk mereka.
Tahun ini agak beza berbanding tahun-tahun sebelumnya – murid-murid tidak boleh berkumpul beramai-ramai. Sebaliknya, mereka mengadakan sambutan dalam kelas masing-masing saja.
Mujur, teknologi bijak dimanfaat para guru agar anak didik mereka masih dapat ‘bertemu’ dengan rakan-rakan yang lain.
“Pada tahun ini, walaupun kita tidak dapat berjumpa secara fizikal, kami telah cuba untuk menggunakan Zoom untuk memberi peluang kepada murid-murid untuk bersua muka.

Cikgu Eliyana akur sambutan tahun ini berbeza tapi tidak kurang gah.
“Selain itu, kami juga memastikan setiap aktiviti yang dilakukan, kami ada menjaga jarak selamat dan pelitup muka dipakai pada setiap masa,” kata Cik Nur Eliyana Ab Ghani.
Dengan memanfaatkan platform komunikasi video itu, mereka berjaya menyatukan seluruh kohort Iyad Perdaus untuk bersama-sama melakukan senaman tarian khas Hari Kebangsaan yang direka oleh Get Active! Singapore.
SEMAI RASA CINTA TERHADAP NEGARA
Dalam pada itu, murid-murid juga berkesempatan menghasilkan kraf tangan unik iaitu jet-jet pejuang kertas yang berwarna-warni.
Kegiatan menghasilkan kraf tangan berkenaan pula secara tidak langsung menzahirkan rasa cinta terhadap negara. Lebih seronok lagi, mereka dapat membawa pulang karya masing-masing sebagai buah tangan.
Ditanya aspek yang memikat hati mereka tentang NDP, ini jawapan mereka:
“Mestilah ghairah kerana saya tidak sabar melihat bunga api dan jet pejuang yang sangat laju. Saya suka nyanyi Di Tanjong Katong dan pakai baju merah putih,” kata Naqeeb Irfan.

Naqeeb Irfan tidak sabar mahu melihat jet pejuang terbang lalu.
“Saya suka lihat lampu berwarna-warni dan bunga api yang cantik!” kata Dina Arissa Muhd Taufik pula, yang datang ke sekolah berpakaian seragam polis.
GENERASI BERBUDI TINGGI
Dalam kemeriahan menyambut kemerdekaan negara, para guru juga mengambil peluang untuk mengajak murid-murid mereka mengenali lebih dekat tokoh-tokoh negara dan tempat menarik di Singapura.
Lebih daripada itu, mereka memandang berat pendidikan yang bermutu agar anak-anak generasi masa depan itu diasuh menjadi rakyat Singapura berbudi tinggi.
“Saya harap dapat membentuk anak-anak kita untuk terus menjadi seorang yang berbudi bahasa dan saling hormat-menghormati.

(Dari kiri ke kanan) Sofia Arissa, Naqeeb Irfan, Dina Arissa dan Syamil Iyad bergambar dengan jet pejuang kertas mereka.
“Kita sebagai rakyat Singapura, kita hidup bermasyarakat dan memerlukan satu sama lain,” kata Cik Nur Amalina Kamal yang sudah beberapa tahun mengajar di situ.
MAHU BEBAS COVID-19
Pada akhir sambutan, beberapa murid diminta pula mengongsi harapan mereka buat negara. Memandangkan situasi COVID-19 ini, maka tidak hairanlah ia juga menjadi keprihatinan utama dalam kalangan mereka.

Meski masih kecil, Sofia Arissa prihatin tentang kebersihan.
Sofia Arissa Mohd Fadly misalnya mengajak orang ramai untuk menjaga kebersihan demi keselamatan semua, selain berharap "Singapura sentiasa bersih".

Syamil mahu COVID-19 berakhir jadi dia tidak perlu pakai pelitup.
Adik Mohd Syamil Iyad Mohd Safiee pula "harap Singapura akan bebas dari COVID-19 supaya kita semua tidak perlu pakai pelitup muka!”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.