Skip to main content

Singapura

Kanak-kanak PERTAPIS bertemu empat mata dengan bintang Newcastle United; 2 dijemput jadi maskot perlawanan

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak PERTAPIS bertemu empat mata dengan bintang Newcastle United; 2 dijemput jadi maskot perlawanan

Seramai 20 penghuni PERTAPIS dan 15 keluarga di bawah jagaan pertubuhan tersebut pada Sabtu (26 Jul) mendapat peluang keemasan untuk bertemu secara eksklusif dengan barisan pemain kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle United. (Gambar: Humaira Abdul Rahman/BERITA Mediacorp)

Diterbitkan : 27 Jul 2025 04:32PM Dikemas Kini : 27 Jul 2025 04:44PM

SINGAPURA: Seramai 20 penghuni PERTAPIS dan 15 keluarga di bawah jagaan pertubuhan tersebut pada Sabtu (26 Jul) mendapat peluang keemasan untuk bertemu secara eksklusif dengan barisan pemain kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle United. 

Antara pemain ternama yang ditemui termasuk penjaga gol Mark Gillespie, ketua pasukan Jamaal Lascelles dan pemain tengah muda berbakat, Lewis Miley.

Detik istimewa ini menjadi kenyataan hasil kerjasama sulung antara PERTAPIS dengan TEG Sport, iaitu salah satu penganjur utama Festival Bola Sepak Singapura. 

Related article image
Barisan pemain kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle United yang ditemui penghuni dan keluarga PERTAPIS pada Sabtu (26 Jul), termasuk penjaga gol Mark Gillespie (paling kanan), ketua pasukan Jamaal Lascelles (kedua dari kanan) dan pemain tengah muda berbakat, Lewis Miley (keempat dari kanan). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Newcastle United kini berada di Singapura bagi menyertai siri perlawanan persahabatan pramusim menentang Arsenal dan AC Milan sebagai sebahagian daripada persiapan mereka menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris.

2 KANAK-KANAK PERTAPIS JADI MASKOT AC MILAN

Dalam acara sama yang berlangsung di Hotel Pan Pacific, Newcastle United - yang dikenali dengan jolokan The Magpies - turut menyampaikan ‘hadiah’ istimewa kepada para penerima bantuan semasa beramah mesra bersama mereka.

Related article image
Sumbangan ini bernilai S$80, merangkumi barangan keperluan makanan, baucar pasar raya Sheng Siong bernilai S$30 dan baucar Popular bernilai S$5. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Setiap penerima mendapat sumbangan bernilai S$80 yang merangkumi barangan keperluan makanan, baucar pasar raya Sheng Siong bernilai S$30 dan baucar Popular bernilai S$5.

Sumbangan ini ditaja sepenuhnya oleh TEG Sport, Commonwealth Concepts (CWC) dan dua kelab penyokong rasmi Newcastle United.

Related article image
Antara penerima bantuan yang sempat bergambar dengan barisan pemain Newcastle United. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Lebih manis lagi, TEG Sport turut menaja tiket buat para penerima bantuan untuk menyaksikan perlawanan antara Arsenal dengan AC Milan pada Rabu (26 Jul).

Dua kanak-kanak PERTAPIS bahkan dijemput untuk berjalan seiring pemain AC Milan di perlawanan tersebut, selaku maskot perlawanan.

Related article image
Ketua Pegawai Eksekutif PERTAPIS, Encik Firdaus D'Cruz. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Melihat kegembiraan yang jelas terpancar di wajah para penerima bantuan, Ketua Pegawai Eksekutif PERTAPIS, Encik Firdaus D'Cruz meluahkan penghargaan atas sokongan padu yang diberikan dalam merealisasikan pengalaman yang disifatkannya sebagai “luar biasa” buat mereka yang berada di bawah jagaan pertubuhan tersebut.

"Saya rasa untuk penerima bantuan dan juga untuk kanak-kanak kami, (pengalaman ini) amat luar biasa. Mereka dapat menonton pemain-pemain ini yang ada di kaca TV," ujar Encik Firdaus ketika ditemui BERITA Mediacorp usai acara tersebut. 

Related article image
Ketua Pegawai Eksekutif PERTAPIS, Encik Firdaus D'Cruz bergambar bersama barisan pemain Newcastle United di acara pada Sabtu (26 Jul) itu. (Gambar: Humaira Abdul Rahman/BERITA Mediacorp)

Tambahnya, kenangan manis itu diharapkan dapat "merangsangkan kanak- kanak (PERTAPIS) supaya dapatlah mereka menjayakan diri mereka."

Newcastle United pada Ahad (27 Jul) akan menentang Arsenal FC di Stadium Negara, dalam perlawanan kemuncak Festival Bola Sepak Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita