Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kanak-kanak perempuan 4 tahun maut akibat COVID-19; kematian kedua pesakit koronavirus bawah 12 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jul 2022 12:37PM Dikemas Kini : 20 Jul 2022 12:38AM

SINGAPURA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Singapura pada Ahad (17 Jul). 

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (19 Jul). 

Kanak-kanak itu adalah pesakit kedua bawah usia 12 tahun yang meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan koronavirus di Singapura. 

Kanak-kanak itu tidak mempunyai sejarah perubatan dan berada dalam keadaan sihat sebelum terjangkit, menurut MOH semasa menjawab pertanyaan Mediacorp. 

Dia mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan atas dan demam pada Jumaat lalu (15 Jul) dan diuji positif COVID-19 semasa menjalani ujian pantas antigen (ART) pada Ahad (17 Jul) di sebuah Klinik Doktor Swasta (GP). 

Kanak-kanak itu diberikan ubat untuk simptomnya tetapi masih tidak sihat. Dia rebah pada Ahad malam (17 Jul). 

Punca kematiannya disebabkan oleh pneumonia (penyakit radang paru-paru) akibat COVID-19 dan disahkan oleh Koroner Negara, menurut kementerian tersebut. 

"Kanak-kanak secara amnya lebih berdaya tahan terhadap jangkitan COVID-19 berbanding orang dewasa dan warga emas," tambah MOH. 

"Sungguhpun demikian, jangkitan COVID-19 boleh mengakibatkan penyakit yang teruk dalam kalangan kanak-kanak." 

MOH, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19 sedang mengkaji keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 yang dihasilkan untuk kanak-kanak berusia bawah lima tahun. 

Setakat ini, kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas layak menerima suntikan vaksin. Mereka yang berusia 12 tahun dan ke atas dan sudah menerima dua dos pertama vaksin layak menerima suntikan dos penggalak yang pertama. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan