Kanak-kanak dilapor ibu bapa kerana hisap vape tidak akan didenda
Kanak-kanak yang dilaporkan kepada pihak berkuasa oleh ibu bapa mereka kerana menggunakan alat vape tidak akan dikenakan denda, kata Menteri Negara Kesihatan Rahayu Mahzam di Parlimen pada Isnin (3 Mac).
Cik Rahayu berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan oleh Anggota Parlimen Tan Wu Meng (PAP-Jurong), yang bertanya tentang jumlah kes penggunaan alat vape yang dikesan melalui tindakan ibu bapa melaporkan perbuatan anak mereka kepada polis, serta pendekatan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) terhadap laporan sedemikian.
Cik Rahayu berkata HSA menerima sekitar 4,000 dan 5,000 kes melibatkan pemilikan atau penggunaan alat vape dari polis sepanjang dua tahun kebelakangan ini.
Hanya satu daripada kes tersebut melibatkan seorang ibu atau bapa yang melaporkan anaknya kepada polis kerana menghisap vape.
Dalam kes itu, individu berkenaan diberi amaran dan tidak didenda. Dia juga dirujuk kepada Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) untuk menjalani kaunseling.
"Ibu bapa yang prihatin jika anak mereka menggunakan alat vape boleh menghubungi talian QuitLine HPB untuk mendapatkan rujukan kepada khidmat berhenti merokok dan vape oleh HPB.
"Tiada tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap anak anda," kata Cik Rahayu.
Sebagai respons, Dr Tan menjelaskan bahawa salah seorang penduduknya mendapati anak mereka menghisap vape. Olehkerana mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan pada ketika itu, mereka membawa anak mereka ke balai polis yang berdekatan.
Polis merujuk kes tersebut kepada HSA dan individu itu didenda S$300.
"Kedua-dua ibu bapa itu berasa tertekan , prihatin dan bimbang oleh pendekatan itu, sungguhpun ia satu tindakan berniat baik oleh pihak agensi, ia boleh menyebabkan para ibu bapa keberatan untuk bantu anak-anak mereka mendapatkan bantuan," katanya.
Menurut Cik Rahayu, dalam kes tersebut, pihak berkuasa berjaya "memulihkan" dan "menangani" situasi itu sewajarnya selepas Dr Tan mengetengahkan perkara itu.
"Secara umum, kami mengambil pendekatan yang sangat bernuansa berhubung situasi yang berlaku secara sukarela di mana mereka benar-benar mahu berhenti menggunakan alat vape, dan di mana ibu bapa tampil untuk melaporkan perbuatan anak mereka," katanya.
Kes-kes sedemikian lazimnya akan dilaporkan kepada HSA dan pihak berkuasa akan memberi kaunseling dan amaran kepada individu tersebut, jelas Cik Rahayu.
"Jika Anggota Parlimen sedia maklum tentang situasi tertentu di mana para ibu bapa telah menghubungi polis ... dan dikenakan denda, anda boleh kemukakan kes itu kepada kami," kata Cik Rahayu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.