Skip to main content

Singapura

Kanak-kanak aniaya atau dera haiwan, adakah ia petanda sesuatu yang lebih membimbangkan?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pertama kali, saya mendapati anak saudara saya mengejar kucing peliharaan keluarga kami di dalam rumah, reaksi pertama saya adalah untuk memberitahunya supaya jangan melakukan demikian.

Meskipun dimarahi kerana "menganggu" kucing tersebut, kanak-kanak itu hanya berhenti seketika sebelum mengulanginya. Pada umur lima atau enam tahun pada ketika itu, dia seolah-olah tidak menyedari ketakutkan kucing itu.

Kucing yang lincah itu,bagaimanapun tidak dicederakan. Tetapi anak saudara saya pernah sekali dicekau kucing itu.

Adakah dia bersikap nakal dan ingin tahu mengenai bagaimana kucing itu akan bertindak apabila dikejar? Atau adakah tingkah lakunya menunjukkan sesuatu yang agak membimbangkan? Wajarkah tindakan saya cuba mendisiplinkannya?

Saya tidak rasa anak saudara saya mempunyai niat yang jahat, tetapi saya secara tidak langsung cenderung untuk meleterinya: Bila anak-anak menunjukkan tingkah laku yang tidak elok terhadap haiwan, bilakan orang dewasa patut berasa bimbang?

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kes di mana penderaan haiwan oleh anak-anak dan belia, mendapat perhatian.

Antaranya termasuk seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang mencampak seekor kucing dari sebuah blok HDB. Kucing berkenaan mati.

Perangkaan oleh Persatuan Mencegah Penganiayaan Haiwan (SPCA) menunjukkan jumlah kes kebajikan dan penderaan haiwan mencatat paras tertinggi tahun lalu sejak 2020.

Secara keseluruhannya, terdapat 481 kes yang dicatat pada 2020, 324 pada 2021 dan 511 tahun lalu.

Dalam tempoh yang sama, terdapat kenaikan tujuh kali ganda dalam jumlah kes yang melibatkan pendera haiwan dalam kalangan kanak-kanak dan belia.

Daripada jumlah kes yang dilaporkan, terdapat satu kes pada 2020 dan 2021, yang melibatkan belia (di bawah usia 21 tahun), tetapi terdapat tujuh kes sedemikian tahun lalu.

SPCA menyatakan bahawa perangkaan itu mencerminkan kes yang mempunyai bukti mencukupi menunjukkan berlakunya penderaan haiwan dan tidak termasuk kes yang disyaki dengan bukti yang tidak muktamad.

Pengarah Eksekutif SPCA, Aarthi Sankar, mendapati cara-cara yang biasanya haiwan tersebut didera termasuk:

  • Menyebabkan kecederaan termasuk mengelar dan memotong
  • Menyebabkan kecederaan terhadap haiwan seperti dengan mencampaknya dari tempat tinggi, menghempaskannya pada permukaan yang keras, memijaknya atau mengikatnya dengan sesuatu seperti tali
  • Menyebabkan kesan luka terbakar menggunakan api atau air panas


Tindakan kejam dan dera ke atas haiwan tidak boleh diterima sama sekali, tidak kira usia pesalah. Ini menyebabkan saya tertanya-tanya sama ada kes sedemikian dapat dielakkan sekiranya orang dewasa dalam kehidupan kanak-kanak itu dapat campur tangan dengan lebih awal untuk mendisiplinkan kanak-kanak.

MENGAPA ORANG DEWASA TIDAK PATUT MEMBIARKANNYA?

Pakar kesihatan mental yang ditemui berkata bahawa sebarang insiden penganiayaan ke atas haiwan oleh kanak-kanak perlu ditangani dan tidak dianggap sebagai kanak-kanak itu hanya bermain atau bersikap ingin tahu.

Mereka juga bagaimanapun menarik perhatian bahawa cara menunjukkan reaksi marah, atau menghukum mereka secara fizikal atau menakut-nakutkan kanak-kanak berhubung kesalahan mereka adalah tidak produktif dan bahkan, boleh membawa kepada lingkaran keganasan.

MENGAPA SEORANG KANAK-KANAK BERSIKAP SEDEMIKIAN?

Untuk mencari cara yang berkesan untuk membetulkan tingkah laku itu, ia membantu untuk pertama sekali, memahami dorongan kanak-kanak atau belia yang melakukannya.


Bagi kanak-kanak, dorongan untuk mencederakan seekor haiwan biasanya berlainan daripada pendera haiwan dewasa, kata Dr Lim Boon Leng, pakar psikiatri dari Dr BL Lim Centre for Psychological Wellness.


Bagi orang dewasa, sebab yang biasa bagi kesalahan mendera haiwan adalah kemarahan, yang biasanya berpunca daripada dinamik kuasa, sejarah keganasan atau bahkan, psikopati.


Kanak-kanak, bagaimanapun, tidak tahu membezakan perkara yang baik daripada yang buruk, dan mungkin mencetuskan emosi negatif mereka dan bertindak terhadap haiwan peliharaan atau haiwan yang mereka nampak, katanya.

APAKAH CARA TERBAIK TANGANI PENDERA MUDA?

Dalam mengubah tingkah laku seorang pendera haiwan yang muda, para pakar kesihatan mental menyatakan bahawa tumpuan tidak sepatutnya kepada perbuatan menuduh kanak-kanak itu sahaja, tetapi pendekatan yang penuh belas ihsan mungkin lebih wajar.


"Perhatian sepatutnya tertumpu kepada pemulihan dan pemahaman, bukan balasan."


"Program pemulihan, jika dilakarkan dengan baik dan menyeluruh, boleh menjadi berkesan dalam mengubah tingkah laku kanak-kanak itu," kata Dr Lim.


Sementara itu, kutukan daripada orang awam berkemungkinan akan mendatangkan kesan yang lebih negatif dan tidak membantu: Mengutuk atau membahayakan kanak-kanak itu boleh memburukkan lagi pandangan negatif mereka terhadap orang dewasa dan masyarakat secara amnya, sekali gus menyebabkan trauma terhadap kanak-kanak itu dan memburukkan lagi tingkah laku mereka, tambahnya.


Memupuk rasa empati, menggalakkan komunikasi yang terbuka dan memahami perasaan serta dorongan kanak-kanak itu, serta persekitaran mereka, adalah lebih berkesan dalam mendatangkan perubahan yang lebih bertahan lama, nasihat Dr Lim.

MENGENAI PENULIS:
Penulis ialah wartawan TODAY, Eveline Gan.

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita