Skip to main content

Singapura

Kanak-kanak 6 tahun maut susuli kemalangan di Chinatown; siasatan polis dijalankan

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak 6 tahun maut susuli kemalangan di Chinatown; siasatan polis dijalankan
Pemandangan kawasan berhampiran Kuil Relik Gigi Buddha di mana kemalangan itu berlaku. (Gambar: Google Street View)
S

INGAPURA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut dalam nahas jalan raya berhampiran Kuil Relik Gigi Buddha (Buddha Tooth Relic Temple) di Chinatown pada Jumaat (6 Feb).

Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata pihaknya dimaklumkan tentang kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan dua pejalan kaki di South Bridge Road pada kira-kira pukul 11.50 pagi pada Jumaat (6 Feb).

Dua pejalan kaki itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun, dibawa ke hospital dalam keadaan sedar. 

Kanak-kanak perempuan itu kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan dua orang dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) susuli kemalangan itu.

Seorang pemandu kereta wanita berusia 38 tahun sedang membantu dalam siasatan polis, menurut SPF.

Gambar dan rakaman video susulan kemalangan itu dimuat naik ke media sosial, menunjukkan seorang lelaki sedang memangku seorang budak perempuan manakala seorang wanita terbaring bersebelahannya di jalan raya. 

Beberapa orang awam juga dilihat berkumpul untuk membantu mangsa.

Dalam video tersebut, seorang wanita kedengaran berkata bahawa ambulans sudah pun dihubungi, manakala beberapa orang lain dilihat menggunakan payung untuk melindungi mangsa daripada cahaya matahari.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita