Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kanak-kanak 6 tahun dari S'pura menang peraduan bahasa Arab antarabangsa

Wereyka Niehaadh Mas’udin berjaya memenangi satu peraduan antarabangsa dalam bahasa Arab bagi kanak-kanak.

Anggaran Waktu Membaca:
 Kanak-kanak 6 tahun dari S'pura menang peraduan bahasa Arab antarabangsa

Wereyka Niehaadh Mas’udin, bekas murid Tadika Masjid Al-Ansar. (Gambar: Norjanah Ramli)

BERITAmediacorp: Seorang murid Singapura berusia enam tahun dari Tadika Masjid Al-Ansar, Wereyka Niehaadh Mas’udin, berjaya memenangi satu peraduan antarabangsa dalam bahasa Arab bagi kanak-kanak.

Ini diumumkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO), sebuah pertubuhan yang berpangkalan di Maghribi, menerusi laman webnya.

Wereyka Niehaadh memenangi anugerah yang dipanggil 'Bayan Award for Creative Expression in Arabic 2021’ (Anugerah Bayan bagi Luahan Kreatif dalam Bahasa Arab 2021), anjuran Pusat Arab bagi Bukan Penutur Bahasa Arab. Peraduan itu dianjurkan tahun lalu.

wereyka niehaadh
(Gambar: Norjanah Ramli)

Dengan kemenangan itu, kanak-kanak tersebut membawa pulang hadiah wang AS$1,000 (S$1,350). Turut memenangi kategori yang sama ialah Muhammed Aman Muhammed Rizal, dari Sekolah Rendah Raja Muda Musa Kuala Kangsar, Malaysia, dan Umulkhairi Mansor Macedo, dari Sekolah Antarabangsa Darus-salam Kaduna, Nigeria.

Dengan kejayaan cukup membanggakan itu , Wereyka Niehaadh mengikuti jejak langkah abangnya, Van Massena El Muwaehib Mas’udin, yang pernah memenangi kategori yang sama pada tahun 2020.

wereyka niehaadh
(Gambar: Norjanah Ramli)

Namun menariknya, Wereyka Niehaadh menjulang kemenangan pada usia enam tahun, sedangkan abangnya memenangi kategori yang sama pada usia 12 tahun.
 

TIDAK SANGKA MENANG KERANA PESERTA TERMUDA

Ibu mereka, Cik Norjanah Ramli, 39 tahun, memberitahu BERITAmediacorp: "Saya merancang memasukkan (Wereyka Niehaadh) ke dalam madrasah (pada 2022), jadi saya mencabarnya untuk berbahasa Arab.

"Tetapi saya tidak menjangkakan dia akan menang kerana melalui pengalaman lalu, murid sekolah rendah peringkat atasan yang menang.

wereyka niehaadh
(Gambar: Norjanah Ramli)

"Jadi bila dia menang, saya terperanjat! Dia yang paling muda dan dia pun sangat gembira kerana dia tahu dia budak kecil."

Wereyka Niehaadh kini baru sahaja memasuki Darjah 1 di Madrasah Irsyad Al-Islamiah.

VIDEO PENDEK BERKAIT COVID-19

Peraduan ICESCO itu bertujuan meningkatkan kemahiran berekspresi dalam bahasa Arab melalui video pendek bagi para pelajar bukan Arab daripada pelbagai negara. Keputusannya diumumkan pada 17 Disember 2021.

Video lebih tiga minit yang dikirimkan Wereyka Niehaadh mengetengahkan tema 'Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati'.

Menurut Cik Norjanah, yang juga bertugas sebagai seorang pegawai di Kedutaan Oman di Singapura, Wereyka memilih sendiri tema tersebut dan mengaitkannya dengan pandemik COVID-19.

"Ada 'dua Wereyka Niehaadh' dalam video itu. Yang satunya melakukan perbuatan yang 'salah' berhubung COVID-19 seperti memicit butang lif dengan jari. Jadi yang seorang lagi sebaliknya akan menggunakan siku.

"Walaupun video itu sekitar tiga minit sahaja, dia harus menghafal setiap perkataan jadi dia faham apa yang disampaikan. Menariknya, sekarang ini dia masih boleh mengulang semua dialog-dialog yang dihafalnya itu... dan mengingatkan kita di luar sekarang."

Penyertaan video pendek tersebut juga dilakukan dengan bantuan Tadika Masjid Al-Ansar yang terletak di Bedok North.

Selain Cik Norjanah sendiri, pengetua tadika berkenaan Cik Hanah Abidin dan Ustazah Huda juga membantu dalam menyemak teks yang ingin disampaikan.

BANTU BINA KEYAKINAN DIRI

Cik Norjanah juga berkongsi bahawa beliau amat menggalakkan anak-anaknya menyertai peraduan seperti itu demi membina keyakinan diri mereka.

"Bercakap di tempat awam membina keyakinan diri mereka dan mengajar mereka bagaimana berbual dengan betul. Mereka akan menjadi pemimpin dan asatizah masa depan. Jika tidak, mereka akan menjadi mendatar sahaja.

"Bercakap di tempat awam juga membantu memberi pengalaman dan pendedahan kepada mereka serta membina kosa kota dan pengetahuan am."

family wereyka
(Gambar: Norjanah Ramli)

Malah ibu tunggal empat anak itu juga berpendapat penyertaan anak-anak tadika dalam peraduan antarabangsa sebegini adalah sesuatu yang "sangat jarang dilihat".

"Tidak ada peraduan atau uji bakat bagi peringkat umur begini bagi Bahasa Arab. Kalau Bahasa Melayu, ada peraduan bercerita dan sebagainya.

"Mungkin tahun depan, mereka boleh menghantar murid-murid lain ke dalam peraduan itu pula. Kanak-kanak ini boleh melakukannya dan hanya memerlukan individu untuk mendorong mereka," ujar Cik Norjanah lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan