Kanak-kanak 5-11 tahun disaran dapatkan dos penggalak vaksin COVID-19
(Gambar: Hanidah Amin/CNA)
SINGAPURA: Kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun kini disaran mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, lima bulan selepas lengkap divaksin.
Persiapan sedang dijalankan untuk mula memberikan golongan itu suntikan vaksin mulai suku keempat 2022, "mungkin apabila peperiksaan di sekolah rendah hampir atau sudah tamat," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan medianya pada Rabu (24 Ogos).
Langkah itu diambil menyusuli saranan Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19.
MOH menyatakan dos penggalak akan meningkatkan perlindungan terhadap penyakit teruk dan mengukuhkan persiapan Singapura menghadapi gelombang jangkitan seterusnya.
Lima pusat vaksinasi khas akan disediakan untuk memberi dos penggalak kepada kanak-kanak berkenaan. Lebih banyak maklumat akan diumumkan kelak.
Berucap di Parlimen pada awal Ogos, Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Janil Puthucheary akur bahawa dos mRNA ketiga bagi kumpulan kanak-kanak ini "mungkin diperlukan pada suatu masa kelak untuk memastikan tahap perlindungan kekal tinggi".
VAKSIN SPIKEVAX KELUARAN MODERNA DILULUSKAN BAGI KANAK-KANAK
Pada Rabu (24 Ogos), MOH turut mengumumkan bahawa Penguasa Sains Kesihatan (HSA) melanjutkan kelulusan vaksin COVID-19 Spikevax keluaran Moderna di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) bagi kanak-kanak, termasuk mereka yang berusia enam bulan hingga lima tahun.
"Keputusan mengenai saranan vaksin bagi golongan usia ini dijangka dalam masa terdekat.
"Jika diluluskan, kami akan mengadakannya seiring dengan program suntikan dos penggalak bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, dan dilakukan di pusat-pusat yang sama bagi kemudahan ibu bapa," menurut MOH lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.