Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kanak-kanak 2 tahun maut dilanggar van di Woodlands; bapanya ditahan kerana didakwa pandu cuai

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak 2 tahun maut dilanggar van di Woodlands; bapanya ditahan kerana didakwa pandu cuai

Kemalangan di sebuah tempat letak kenderaan HDB menyebabkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dan mencederakan dua yang lain. (Gambar: SG Road Vigilante/Facebook)

Diterbitkan : 14 Mar 2023 05:03PM Dikemas Kini : 14 Mar 2023 05:06PM
SINGAPURA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut pada Isnin (13 Mac) dalam kemalangan membabitkan sebuah van yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun di tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Mediacorp difahamkan bahawa pemandu van berkenaan adalah bapa kanak-kanak itu dan dia telah ditahan polis kerana didakwa memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

Menurut polis pada Selasa pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian membabitkan sebuah van dan tiga pejalan kaki di Blok 326 Woodlands Street 32, pada kira-kira pukul 2.40 petang Isnin.

"Seorang budak lelaki berusia empat tahun dan wanita berusia 34 tahun, yang merupakan pejalan kaki, dihantar ke hospital dalam keadaan sedar," kata polis.

"Seorang lagi pejalan kaki berusia dua tahun dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri, di mana dia kemudiannya meninggal dunia."

Polis menyatakan siasatan sedang dijalankan.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) juga menyatakan ia dimaklumkan mengenai kemalangan jalan raya di lokasi yang sama pada Isnin, dan membawa tiga orang ke Hospital Khoo Teck Puat.

Sebuah video yang disiarkan di kumpulan Facebook SG Road Vigilante pada Selasa menunjukkan kesan selepas kemalangan di tempat letak kereta, dengan beberapa orang yang berada di situ cuba membantu melindungi mereka yang cedera dengan payung ketika dirawat anggota paramedik.

Sebuah van kelabu dan sekurang-kurangnya dua ambulans berada di tempat kejadian.

Pada separuh kedua video itu, polis kelihatan sedang menyiasat tempat kejadian dan memeriksa van tersebut.

Catatan pada video tersebut menyatakan kanak-kanak dua tahun yang maut itu berada di dalam kereta sorong ketika dilanggar van berkenaan.
Sumber : Today/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan