Kanak-kanak 13 bulan maut akibat COVID-19; kematian pertama pesakit SG bawah 12 tahun pada 2023

Gambar fail: AFP/Fred Tanneau
SINGAPURA: Seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia 13 bulan yang dijangkiti COVID-19, meninggal dunia pada 12 Okt. Ia sekali gus merupakan kematian pertama pesakit COVID-19 bawah usia 12 tahun di Singapura bagi tahun ini.
Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (25 Nov) menyatakan bahawa kanak-kanak tersebut "tidak diberi suntikan vaksin bagi COVID-19" dan "mempunyai sejarah perubatan ketara berkait keadaan kongenital" dengan prognosis yang lemah sebelum dijangkiti virus tersebut.
"Dia diuji positif bagi COVID-19 pada 10 Okt 2023 dan dimasukkan ke hospital pada hari yang sama," tambah MOH.
"Pesakit itu meninggal dunia pada 12 Okt, dan punca kematiannya adalah disebabkan jangkitan akut COVID-19, dengan keadaan kongenitalnya menjadi punca penyumbang."
MOH juga mengesahkan kes itu sebagai kematian pertama di Singapura akibat COVID-19 dalam kalangan pesakit bawah usia 12 tahun bagi tahun ini.
Tiga kanak-kanak meninggal dunia disebabkan COVID-19 pada tahun lalu, manakala tiada kematian COVID-19 dicatat dalam kalangan kanak-kanak pada 2020 ataupun 2021.
"Risiko dijangkiti COVID-19 yang teruk dalam kalangan kanak-kanak kecil adalah lebih rendah berbanding golongan dewasa, tetapi keadaan teruk masih boleh berlaku, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang tersembunyi dan yang belum diberi suntikan vaksin terhadap COVID-19," menurut MOH.
Kementerian itu juga menggesa semua individu berusia enam bulan ke atas untuk memastikan status vaksinasi COVID-19 mereka dikemas kini, berdasarkan saranan terkini bagi mereka.
Pada Oktober lalu, Singapura mengemas kini saranan vaksin COVID-19 di negara ini, yang menggalak mereka berusia enam bulan ke atas untuk mendapatkan suntikan tambahan pada 2023 atau 2024.
Individu yang layak boleh mendapatkan suntikan tambahan kira-kira setahun - dan bukan lebih awal daripada lima bulan - selepas suntikan terakhir mereka.
Waktu operasi bagi semua Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) boleh didapatkan menerusi laman ini.
Orang ramai juga boleh mendapatkan vaksin COVID-19 di klinik-klinik ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.