Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kampus-kampus maktab rendah dinaik taraf mulai 2022

Satu program peningkatan prasarana akan dilaksanakan bagi maktab rendah-maktab rendah (JC) secara bertahap-tahap mulai 2022, kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung pada Selasa (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Mar 2019 05:21PM Dikemas Kini : 05 Mar 2019 10:03PM

SINGAPURA: Satu program peningkatan prasarana akan dilaksanakan bagi maktab rendah-maktab rendah (JC) secara bertahap-tahap mulai 2022, kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung pada Selasa (5 Mac).

Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan, Encik Ong berkata beberapa maktab rendah yang digabungkan tahun ini merupakan antara JC pemerintah yang tertua dengan kampus-kampus yang sudah "agak usang".

"Kami secara bertahap-tahap mempertingkat prasarana bangunan ITE dan politeknik," katanya. "Saya fikir JC juga wajar mendapat kampus-kampus baru."

Dalam ucapannya, Encik Ong menjelaskan bagaimana pihak kementerian memilih maktab rendah yang akan menjalani program peningkatan lebih dahulu. Kementerian Pendidikan mengambil kira beberapa faktor seperti usia bangunan, keadaaan kemudahan sedia ada dan adanya tapak sementara yang sesuai.

Pada fasa pertama, tiga JC - Anderson Serangoon, Jurong Pioneer dan Temasek - akan dibina semula, sementara Maktab Rendah Yishun Innova akan dinaik taraf. Ini dijangka selesai menjelang 2025.

Maktab Rendah Anderson Serangoon akan berpindah buat sementara waktu ke bekas tapak Maktab Rendah Serangoon sementara kampusnya yang sekarang di Ang Mo Kio dibina semula.

Encik Ong menjelaskan bahawa JC yang digabungkan itu ditempatkan di bekas tapak Maktab Rendah Anderson kerana ia terletak bersebelahan stesen MRT Yio Chu Kang. "Pertimbangan sama diambil dalam memutuskan tapak tetap Maktab Rendah Anderson Serangoon pada masa hadapan," katanya.

Maktab Rendah Temasek, yang merupakan kampus tertua dalam kalangan maktab rendah-maktab rendah pemerintah pada usia 43 tahun - akan berpindah ke bekas tapak Maktab Rendah Tampines sementara kampusnya di Bedok akan dibina semula.

Sebuah kampus baru akan dibina bagi Maktab Rendah Jurong Pioneer di bekas tapak Maktab Rendah Jurong. Encik Ong menjelaskan bahawa tapak tetap itu dipilih bagi maktab rendah yang digabungkan kerana ia terletak berdekatan dengan Daerah Tasik Jurong dan Laluan MRT Daerah Jurong.

Maktab Rendah Yishun Innova, yang buat masa ini terletak di bekas tapak Maktab Rendah Yishun akan berpindah ke premis yang sudah dinaik taraf di bekas tapak Maktab Rendah Innova. Encik Ong berkata tapak tetap itu dipilih kerana ia juga terletak berhampiran Laluan MRT Thomson-East Coast yang baru.

Fasa kedua dan ketiga program peningkatan akan melibatkan kerja-kerja menaik taraf Maktab Rendah keempat yang digabungkan - Tampines Meridian serta Maktab Rendah Victoria dan maktab-maktab rendah bantuan pemerintah.

"Premis-premis baru akan menyokong perkembangan pendidikan JC dengan sesi-sesi pembelajaran lebih interaktif dan menyeleruh," katanya. "Daripada hanya bilik-bilik darjah yang ada sekarang, kami sebaliknya akan menyediakan bilik-bilik seminar yang boleh diubah suai dan fleksibel, bagi menyokong pembelajaran lebih interaktif."

Beliau menambah bahawa kampus-kampus akan dilengkapi dengan lebih banyak "keupayaan digital" serta kemudahan-kemudahan seperti dewan sukan tertutup yang direka untuk kegunaan orang ramai.

"Maktab-maktab rendah kami akan mempunyai kampus-kampus yang sesuai bagi masa hadapan."

Dalam ucapannya, Encik Ong turut mengumumkan bahawa sistem aliran akademik di sekolah menengah - yang dilaksanakan lebih 30 tahun lalu - akan dimansuhkan menjelang 2024.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan