Skip to main content

Singapura

Kampus baharu SUSS di sekitar tapak lama Rochor Centre jelang pertengahan 2030-an

Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) akan mendapat kampus baharu di tapak lama Rochor Centre, yang akan siap pada pertengahan 2030-an, umum Kementerian Pendidikan pada Khamis (6 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Mar 2025 04:48PM Dikemas Kini : 06 Mar 2025 11:39PM

SINGAPURA: Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) akan mendapat kampus baharu di tapak lama dan sekitar Rochor Centre, yang akan siap pada pertengahan 2030-an, umum Kementerian Pendidikan pada Khamis (6 Mac).

Lokasi di bahagian tengah Singapura itu akan meningkatkan akses universiti tersebut untuk kedua-dua mahasiswa sepenuh masa yang mengikuti pengajian ijazah pertama dan pekerja dewasa yang mahu mendapatkan pendidikan lanjut, menurut kementerian itu.

SUSS menawarkan program-program yang memenuhi keperluan mahasiswa yang berbeza, termasuk orang dewasa yang bekerja, dan banyak kuliah dikendalikan selepas waktu bekerja, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Parlimen semasa membentangkan rancangan perbelanjaan kementeriannya untuk tahun ini.

SUSS adalah salah satu daripada enam Universiti Berautonomi di Singapura. Ia menawarkan lebih 100 program sarjana muda dan siswazah di lima sekolah:

  • Sekolah Pembangunan Manusia S R Nathan
  • Sekolah Perniagaan
  • Sekolah Ilmu Kemanusiaan dan Sains Tingkah Laku
  • Sekolah Undang-Undang
  • Sekolah Sains dan Teknologi

Sejak menjadi Universiti Berautonomi pada 2017, SUSS telah melahirkan lebih 22,000 siswazah, kata Encik Chan.

"Buat masa ini, kampus SUSS ditempatkan di beberapa premis yang disewa, termasuk lokasi utamanya di Clementi. Ini bukanlah sesuatu yang ideal," kata Encik Chan.

"Sudah tiba masanya untuk SUSS mempunyai kampus sendiri yang disatukan untuk menampung jumlah mahasiswanya yang semakin meningkat."

Rochor Centre, yang terkenal dengan blok-blok berwarna pelangi, dibina pada 1977 dan dirobohkan pada 2018 untuk memberi laluan kepada Koridor Utara-Selatan.

SOKONGAN UNTUK PEKERJA PERTENGAHAN KERJAYA

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, elaun latihan pertengahan kerjaya SkillsFuture akan diperluaskan kepada pekerja yang mendaftar untuk latihan sambilan.

Mulai 2026, para pekerja boleh memohon elaun tetap S$300 sebulan untuk membantu menampung perbelanjaan pembelajaran mereka​.

Butiran lanjut, termasuk kursus sambilan yang layak, akan diumumkan kelak.

Bagi mereka yang mengikuti kursus sepenuh masa, permohonan untuk elaun latihan bermula pada 10 Mac. Elaun itu ditetapkan pada 50 peratus daripada purata pendapatan pekerja sepanjang tempoh 12 bulan sebelumnya, dihadkan kepada S$3,000 sebulan.

Sekitar 600 kursus sepenuh masa, yang akan disenaraikan di laman web SkillsFuture, layak mendapat elaun latihan berdasarkan pendapatan.

Rakyat Singapura berusia 40 tahun ke atas boleh menerima sehingga 24 bulan elaun latihan sepanjang hayat mereka, yang boleh digunakan untuk latihan sepenuh masa dan sambilan.
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita