Kampus baharu OBS Coney Island dibuka rasmi, sediakan aktiviti lasak mesra kerusi roda
Kampus baharu Pusat Bina Semangat Singapura (Outward Bound Singapore, OBS) dibuka secara rasmi pada Jumaat (11 Sep). Pusat OBS di Coney Island itu, yang juga dikenali sebagai Pulau Serangoon, dilengkapi pelbagai kemudahan untuk aktiviti lasak dan boleh diakses pengguna kerusi roda.
- The new Outward Bound Singapore campus on Coney Island was officially opened by Prime Minister Lawrence Wong on Sep 11.
- The campus offers more than 100 adventure activities, wheelchair-friendly amenities, and sustainability features such as low-energy use and rainwater management.
- Outward Bound Singapore will expand the MOE-OBS programme to all Secondary 3 students by 2030, while also giving older students the opportunity to take part.
- The opening of the campus is aimed at building confidence, resilience and teamwork among youths, with cooperation from various agencies and the involvement of people with disabilities.
- Kampus baharu Pusat Bina Semangat Singapura (OBS) di Coney Island dirasmikan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong pada 11 September.
- Kampus ini menawarkan lebih 100 aktiviti lasak, kemudahan mesra pengguna kerusi roda, dan ciri kemampanan seperti penggunaan tenaga rendah serta pengurusan air hujan.
- OBS akan memperluaskan program MOE-OBS kepada semua pelajar Menengah 3 menjelang 2030, serta memberi peluang kepada pelajar lebih dewasa untuk turut serta.
- Pembukaan kampus ini bertujuan membina keyakinan, ketabahan dan semangat berpasukan dalam kalangan belia, dengan kerjasama pelbagai agensi dan penglibatan golongan kurang upaya.
SINGAPURA: Kampus baharu Pusat Bina Semangat Singapura (Outward Bound Singapore, OBS) dibuka secara rasmi pada Jumaat (11 Sep). Pusat OBS di Coney Island itu, yang juga dikenali sebagai Pulau Serangoon, dilengkapi pelbagai kemudahan untuk aktiviti lasak dan boleh diakses pengguna kerusi roda.
Berucap di majlis perasmiannya, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata meskipun Singapura sudah "berubah secara ketara" sejak OBS ditubuhkan pada 1967, keperluan untuk membina perwatakan tetap penting.
"Malah, ia kini menjadi lebih penting," katanya.
"Kita tahu kita tidak boleh melindungi golongan muda daripada setiap kegagalan atau kesukaran. Namun, kita mesti terus melengkapi mereka dengan keupayaan untuk menghadapi cabaran dengan penuh keyakinan dan ketabahan. Itulah yang ingin dicapai OBS."
Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo, serta Setiausaha Parlimen Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Goh Hanyan.
Dengan pembukaan kampus baharu itu, OBS akan dapat menawarkan program MOE-OBS kepada semua pelajar Menengah 3 menjelang 2030.
Tahun lalu, kira-kira 65 peratus pelajar Menengah 3 dari 90 sekolah menyertai program tersebut.
"Kami tidak akan berhenti setakat sekolah menengah. Kami juga akan memperluaskan peluang kepada pelajar yang lebih dewasa," kata PM Wong.
"Selepas sekolah menengah, mereka boleh kembali lagi – sama ada di ITE, politeknik atau universiti. Kami mahu OBS menjadi satu pengalaman penting yang dilalui semua golongan muda Singapura."
Kampus baharu seluas 12 hektar itu menawarkan pelbagai aktiviti lasak berkumpulan pada aras tinggi dan rendah, dengan sebahagiannya boleh diakses pengguna kerusi roda.
Menurut kenyataan bersama OBS dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC), kemudahan itu akan membolehkan lebih ramai orang menyertai program MOE-OBS Challenge.
"Kampus baharu ini bukan sekadar untuk menambah jumlah peserta. Ia bertujuan memperluaskan penyertaan dan membolehkan lebih ramai orang meraih manfaat daripada pengalaman OBS, selain membuka peluang baharu bagi program yang boleh ditawarkan," kata PM Wong.
OBS turut melibatkan golongan kurang upaya dalam mereka bentuk dan menilai ciri-ciri akses sejagat, selain berunding dengan pakar keselamatan bagi memastikan keperluan golongan tersebut diambil kira.
Para pelajar boleh mencuba lebih 70 aktiviti lasak aras tinggi, termasuk aktiviti di kawasan terbuka dan berbumbung. Ini membolehkan program OBS dijalankan dalam pelbagai keadaan cuaca.
"Aktiviti ini direka secara bertahap-tahap, dengan pelajar bermula daripada cabaran lebih mudah sebelum beralih kepada tahap lebih sukar, sekali gus membina keyakinan, semangat berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah," menurut OBS dan NYC.
Lebih 30 aktiviti lasak aras rendah pula disediakan di lima kawasan.
Aktiviti akan direka untuk kumpulan sehingga empat pelajar, berbanding format sebelum ini yang hanya membabitkan dua pelajar.
Selain kemudahan di kampus, terdapat juga pusat operasi laut seluas 1.2 hektar yang dilengkapi jeti sepanjang 170 meter.
Hubungan kampus itu dengan tanah besar Singapura membolehkan ekspedisi darat dijalankan merentasi pelbagai tapak perkhemahan di seluruh negara, manakala akses ke Pulau Ubin membolehkan ekspedisi berkayak dan menaiki bot dayung.
"Ini memperluaskan ruang pembelajaran melangkaui kampus dan mencabar golongan muda dalam pelbagai persekitaran yang tidak biasa bagi mereka," menurut OBS dan NYC.
Kampus itu turut dilengkapi pelbagai ciri kemampanan.
Antaranya bangunan penggunaan tenaga amat rendah yang direka dengan sistem pengudaraan semula jadi serta panel suria bagi mengurangkan penggunaan tenaga.
Taman hujan, saliran berumput dan kolam pemendapan pula digunakan untuk mengumpul serta merawat air hujan secara semula jadi. Air tersebut kemudian digunakan untuk pengairan dan mencuci peralatan.
OBS mula menggunakan kampus Coney Island sejak Jun menerusi program percubaan MOE-OBS berskala kecil dan merancang meningkatkan kapasiti secara berperingkat.
Rancangan membangunkan kampus Coney Island diumumkan semasa Belanjawan 2016, manakala pembinaannya bermula pada 2021. Projek itu menelan belanja S$250 juta.
Jadual projek terpaksa disemak semula disebabkan beberapa faktor, termasuk pandemik COVID-19 serta keperluan memastikan kaedah pembinaan dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, menurut seorang jurucakap kementerian sebelum ini.
"Kampus ini merupakan hasil perancangan dan kerjasama selama bertahun-tahun. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakannya – kakitangan dan jurulatih, perancang dan jurubina, kontraktor, pelbagai agensi pemerintah, sukarelawan serta rakan kerjasama," kata PM Wong.
"Menerusi usaha gigih anda, anda bukan sekadar membangunkan sebuah kampus baharu.
"Anda membuka peluang baharu kepada generasi muda Singapura untuk berkembang, meneroka kemampuan diri dan menjalin hubungan kukuh antara satu sama lain."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.