Skip to main content

Singapura

'The Kampung Bridge' beri habuan Hari Raya kepada keluarga bekas pesalah, bimbing anak mereka dalam kem solat

Lebih 100 keluarga bekas pesalah dan yang kurang berkemampuan menerima baucar dan habuan makanan serta keperluan Hari Raya bernilai lebih S$300 pada Ahad (16 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
'The Kampung Bridge' beri habuan Hari Raya kepada keluarga bekas pesalah, bimbing anak mereka dalam kem solat

Setiap pek berisi barangan memasak termasuk beras, minyak serta kuih muih, baju raya dan duit raya. (Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Lebih 100 keluarga bekas pesalah dan yang kurang berkemampuan menerima baucar dan habuan makanan serta keperluan Hari Raya bernilai lebih S$300 pada Ahad (16 Mac).

Setiap pek berisi barangan memasak termasuk beras, minyak serta kuih muih, baju raya dan duit raya.

Inisiatif oleh badan bukan mencari untung 'The Kampung Bridge' itu juga mendapat sokongan kumpulan relawan 'Abam-Abam Van Singapura' yang sebahagiannya dianggotai golongan bekas pesalah juga bagi membantu agihkan habuan.

Konvoi sebesar 50 kenderaan termasuk kereta, van dan motosikal itu bertolak dari Masjid Omar Salmah sekitar 12.30 tengahari tadi.

"'Abam-Abam Van' ini membuka mata saya apabila pertama kali saya melakukan kerja-kerja amal. Ini kerana perkongsian mereka dengan kerja-kerja kemasyarakatan sangat mengagumkan. Saya juga seorang bekas pesalah seperti mereka jadi kami saling memahami. Kami juga faham golongan yang kurang berkemampuan. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan jadi lebih mudah untuk saya menguruskan dan membiarkan mereka melakukan kerja-kerja agihan bersama," kata Pengasas Bersama, 'The Kampung Bridge', Firdaus Abdul Hamid kepada wartawan Syawal Yusoff.
Konvoi sebesar 50 kenderaan termasuk kereta, van dan motosikal itu bertolak dari Masjid Omar Salmah sekitar 12.30 tengahari pada Ahad (16 Mac). (Gambar: Syawal Yusoff)
LEBIH TUMPUKAN PADA ASPEK PRAKTIKAL SOLAT

Pembentukan kerohanian anak-anak keluarga bekas pesalah yang dibantu juga disokong menerusi 'Camp Solat' yang sudah dianjurkan buat kali kelima oleh 'The Kampung Bridge'.

Program agama sempena cuti sekolah itu diadakan khas buat anak-anak dari keluarga golongan bekas pesalah.

Ini juga kali pertama ianya diadakan pada bulan Ramadan.

"Selalunya pada bulan Ramadan kami menganjurkan sebuah acara amal pada satu hari tapi tahun ini kami merancang untuk mengadakannya semasa 'Camp Solat'. Seramai 30 daripada peserta perkhemahan ini datang daripada 100 keluarga yang kami bantu. Jadi kami akan menghantar mereka pulang bersama pek-pek habuan," kata Encik Firdaus.
Program agama sempena cuti sekolah itu diadakan khas buat anak-anak dari keluarga golongan bekas pesalah. (Gambar: Firdaus Abdul Hamid)
Perkhemahan sempena cuti sekolah itu diadakan selama dua hari sejak semalam (15 Mac).

Sambutannya kali ini juga cukup menggalakkan dengan seramai 37 kanak-kanak dan belia lelaki dan perempuan menyertai program itu kali ini.

Mereka berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Selain aktiviti tentang kepentingan solat dan amalan berpuasa, edisi kali ini juga lebih tertumpu kepada aspek praktikal dalam membimbing anak-anak tentang solat.

"Mereka yang berusia tujuh tahun ini lebih tertumpu kepada aspek fizikal. Mereka ingin tahu solat bersama-sama dan sebagainya, tapi falsafah solat itu apabila mereka telah mencecah usia menengah. Maka mereka yang berusia 17 tahun ini membimbing adik-adik dan menjadikan mereka lebih berkeyakinan diri untuk memimpin adik-adik mereka ketika mereka berada di rumah kelak," kata Pegawai Agama Masjid Omar Salmah, Lukman Hakeem.
Menurut Pegawai Agama Masjid Omar Salmah, Ustaz Lukman Hakeem, selain aktiviti tentang kepentingan solat dan amalan berpuasa, edisi kali ini juga lebih tertumpu kepada aspek praktikal dalam membimbing anak-anak tentang solat. (Gambar: Syawal Yusoff)
BERI PENGALAMAN 'KAMPUNG' BUAT PARA PESERTA

Menurut Ustaz Lukman, ini juga kali ketiga masjid terletak di Jalan Mashhor itu menyokong usaha perkhemahan itu.

Selain pendidikan ukhrawi, lokasi terpencil masjid yang boleh menampung sehingga 300 jemaah itu juga diharap dapat memberikan pengalaman unik untuk para peserta.

"Kami merasakan bahawa menjadi tanggungjawab kepada pihak masjid untuk mendekatkan seramai mungkin mereka yang di luar sana untuk mengenali masjid ini. Masjid ini agak jauh daripada mata masyarakat. Tidak ada kawasan perumahan di sini. Walaupun kami hidup dalam kota yang serba moden tapi sebenarnya adanya kampung di tengah-tengah bandar. Jadi mereka rasakan sesuatu suasana yang sangat sangat berlainan," tambah Ustaz Lukman yang sudah tiga tahun berkhidmat di masjid itu.

KERJASAMA DENGAN CNB, MAHU PELBAGAIKAN AKTIVITI

Acara hari ini turut disaksikan Menteri Negara Ehwal dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang turut beramah mesra dengan para peserta dan relawan.

Dalam taklimat yang disampaikan, Dr Faishal memuji usaha kemasyarakatan itu dan berharap ibu bapa dapat menjadi contoh yang positif kepada anak-anak.

Justeru untuk edisi 'Camp Solat' yang akan datang, The Kampung Bridge sudahpun menjalin kerjasama dengan Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk menerapkan mesej-mesej anti-dadah ke dalam programnya.
The Kampung Bridge sudahpun menjalin kerjasama dengan Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk menerapkan mesej-mesej anti-dadah ke dalam programnya. (Gambar: Syawal Yusoff)
Encik Firdaus juga berharap dapat menyuntik elemen-elemen lebih menarik ke dalam programnya itu untuk memperkayakan lagi pengalaman para peserta.

"Mungkin kami dapat membawa mereka ke tempat-tempat seperti 'Outward Bound' untuk mereka menyertai aktiviti panjat tembok, berkayak, kami mahu mengadakan lebih banyak program lasak di luar tapi kami akan masukkan aspek-aspek agama dan etika kemanusiaan," ujar Encik Firdaus.

Perkhemahan 'Camp Solat' yang seterusnya akan diadakan pada cuti sekolah bulan Jun nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita