Skip to main content

Singapura

Kampung Admiralty 'model perumahan awam masa hadapan', kata PM Lee dalam Amanat Hari Kebangsaan

Estet perumahan bersepadu, Kampung Admiralty, adalah "model perumahan awam masa hadapan" kerana ia memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua dan menggalak para penduduk dan keluarga mereka untuk sama-sama membina sebuah masyarakat, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (8 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Aug 2018 07:07PM Dikemas Kini : 08 Aug 2018 10:20PM

SINGAPURA: Estet perumahan bersepadu, Kampung Admiralty, adalah "model perumahan awam masa hadapan" kerana ia memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua dan menggalak para penduduk dan keluarga mereka untuk sama-sama membina sebuah masyarakat, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (8 Ogos).

Semasa menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan tahun ini dari estet yang direka khas untuk warga tua, PM Lee menarik perhatian kepada ciri-ciri mesra warga emas seperti permukaan lantai flat yang tidak licin dan kemudahan-kemudahan seperti pasar raya, pusat perubatan, taman masyarakat, pusat jagaan kanak-kanak dan pusat penjaja.

Menurut PM Lee, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan terus membangunkan konsep-konsep perumahan yang inovatif bagi warga muda dan tua agar generasi seterusnya juga dapat memiliki rumah mereka sendiri dan hidup dengan tenang dan bahagia di kejiranan masing-masing.

PM Lee turut mendedahkan bahawa Pemerintah menyemak dasar-dasar perumahan, pendidikan dan jagaan kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sambil membuat perubahan yang akan memperbaiki mutu kehidupan rakyat Singapura, mengukuhkan jaringan keselamatan sosial dan membina negara yang bersatu padu.

Estet perumahan Kampung Admiralty, kata PM Lee, adalah satu contoh usaha Pemerintah untuk merubah ketiga-tiga dasar itu.

"Apabila rakyat menyuarakan keprihatinan mengenai kos sara hidup, ketiga-tiga perkara ini membimbangkan mereka," kata PM Lee. "Di Singapura, kita memastikan ketiga-tiga khidmat awam penting ini bermutu tinggi dan dimampui rakyat, baik yang kaya mahupun sebaliknya."

"Inilah caranya bagaimana kita membantu keluarga-keluarga di sini menguruskan kos sara hidup dan memberikan sokongan tambahan kepada mereka yang memerlukannya," tambah beliau. "Bagi tempoh lebih lima dekad, pendekatan ini berjaya membuahkan hasil yang baik."

Bagi estet-estet perumahan yang ada sekarang, PM Lee memberi jaminan bahawa ia akan disenggara dan dinaik taraf.

"Meskipun tempoh pajaknya agak panjang, kita perlu berpandangan jauh, khususnya bagaimana untuk menjaga estet-estet lama supaya ia kekal dalam keadaan yang baik dan membangunkan semula estet-estet sedemikian agar rumah-rumah dan bandar-bandar baru dapat dibina untuk generasi seterusnya," kata PM Lee.

PEMERINTAH PANTAU PERKEMBANGAN LUAR NEGARA DENGAN TELITI

Dalam amanatnya itu, PM Lee turut menekankan bahawa Pemerintah sedang memantau perkembangan luar negara dengan teliti.

Singapura, kata PM Lee, sudah mencatat banyak kemajuan sepanjang 53 tahun lalu, dengan daya penghasilan dan gaji terus meningkat. Hakikatnya, keadaan boleh berubah.

Misalnya, ketegangan dari segi perdagangan antara kuasa-kuasa besar yang semakin memuncak sejak setahun yang lalu; sekaligus menjejas perdagangan antarabangsa, pelaburan dan keyakinan terhadap perniagaan.

"Pertumbuhan dan kemakmuran Singapura juga akan terjejas," tegas PM Lee. "Konflik perdagangan juga akan menggugat keyakinan dan kepercayaan sesama kuasa besar dan menghambat kerjasama bagi isu-isu penting yang lain."

"Keselamatan serantau dan antarabangsa juga berisiko terjejas."

Dalam bidang keselamatan antarabangsa pula, PM Lee menarik perhatian kepada sidang puncak Trump-Kim yang berjaya mengendurkan ketegangan di Semenanjung Korea, meskipun terdapat "banyak cabaran yang perlu diatasi" sebelum program senjata nuklear Korea Utara dapat dilucutkan sepenuhnya dan kedamaian dicapai di Semenanjung Korea.

Menyifatkan ASEAN sebagai "rakit keselamatan dalam dunia yang serba tidak menentu", PM Lee menegaskan bahawa sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Singapura akan terus mengukuhkan kerjasama dengan rakan-rakan ASEAN, khususnya Malaysia dan Indonesia, dua jiran terdekat Singapura.

Dalam pada itu, Pemerintah akan terus menguatkan daya bingkas Singapura dan mewujudkan peluang-peluang baru. "Kami mahu melihat Singapura melakukan yang terbaik, tidak kira apa pun keadaan di luar sana," tegas PM Lee.

Dengan merancang secara kreatif dan berani, Singapura boleh dicipta semula dan masyarakat serta kawasan-kawasan kejiranannya pula, diberikan nafas baru.

"Usaha membina Singapura bagi tempoh 50 tahun akan datang adalah satu usaha jangka panjang yang mengambil masa lebih daripada satu generasi, kata PM Lee. "Untuk menjayakan projek ini, kita memerlukan ekonomi yang kukuh dan kedudukan kewangan Pemerintah yang mantap."

"Lebih penting lagi, kita memerlukan perpaduan sosial yang kukuh, kestabilan politik dan Pemerintah yang cekap dalam jangka panjang untuk benar-benar merealisasikan wawasan dan visi kita."

Sumber : CNA/AW/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita