Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kampong Gelam kembali semarak menjelang Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Kampong Gelam kembali semarak menjelang Ramadan

(Gambar: CNA/Izza Haziqah)

SINGAPURA: Suasana di sekitar kawasan Kampong Gelam kembali semarak dan berwarna warni menjelang Ramadan ini.

Ini dengan bermulanya acara Raikan Cahaya Ramadan anjuran pertubuhan One Kampong Gelam (OKG) pada Rabu (15 Mac).

Antara tarikan utamanya adalah bazar ramadan yang akan berlangsung selama 33 hari.

BERITAmediacorp mendapati kawasan itu mula sibuk sejak sekitar 6.30 petang dibanjiri orang ramai termasuk para pelancong asing.

Bazar tahun ini adalah yang terbesar pernah dianjurkan dalam kawasan ini dengan lebih 80 gerai yang menjual pelbagai keperluan Ramadan dan Hari Raya.

(Gambar: CNA/Izza Haziqah)


Ia meliputi kawasan Muscat Street, Kandahar Street dan Baghdad Street.

"Kami ingin menggalakkan para pengunjung untuk membuat persiapan lebih awal dan tidak terburu-buru pada saat-saat akhir dalam bulan Ramadan ini. Kami ada beberapa konsep dan program untuk Raikan Cahaya Ramadan tahun ini. Jadi konsep seperti 'open grill' konsep, makanan 'trendy' dan popular dalam masyarakat terkini dan juga kita tidak lupa makanan tradisional Melayu," kata penganjurnya, Encik Burhan Jumadi.

Para pengunjung boleh berbelanja dengan mudah dengan kemudahan PayNow disediakan di kebanyakan gerai.

Mereka yang ditemui BERITAmediacorp berpuas hati dengan beraneka tawaran menarik yang disediakan.

"Pada pendapat saya bazar tahun ini agak berbeza sekali kerana terdapat banyak gerai-gerai baru yang belum saya kunjungi Saya boleh mendapat pelbagai barang di sini dan saya tidak sabar (untuk berbelanja)," kata Encik Haili.

Bagi Cik Laila pula, beliau memilih untuk datang pada hari ini untuk mengelak keadaan sesak pada hari-hari mendatang.

"Saya bimbang keadaan akan menjadi sesak nanti. Kerana itulah kami datang pada hari ini. Banyak pilihan yang pelbagai dan saya tidak sabar untuk mencuba (makanan) di 'live station'," kata Cik Laila.

(Gambar: CNA/Izza Haziqah)
Bazar ‘Glam Eid’ dibuka setiap hari sehingga 16 April, bermula dari 12 tengah hari hingga 11 malam.

Lebih banyak acara menarik juga boleh dijangkakan termasuk penampilan para artis tempatan dan luar negara, sesi-sesi dialog dan bengkel-bengkel seni.
(Gambar: CNA/Izza Haziqah)

Pada setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad pula, orang ramai berpeuang menikmati pancaran cahaya berwarna-warni bertemakan seni dan budaya di muka bangunan Masjid Sultan pada jam 8.00 malam dan 10.30 malam.

Pertunjukan dron pula akan diadakan setiap Jumaat dan Sabtu, pada 8 malam dan 10.30 malam.


Acara Raikan Cahaya Ramadan akan dirasmikan Datuk Bandar Kawasan Tengah Denise Phua pada Sabtu (18 Mac).

(Gambar: CNA/Izza Haziqah)
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan