Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Kami tahu bagaimana rasanya'; pemilik Melayu/Islam firma logistik sediakan ruang rehat bagi penghantar makanan

Apabila sekatan menjamu selera di luar diumumkan baru-baru ini, para pemilik sebuah syarikat logistik memikirkan tentang sekumpulan individu yang akan terjejas - iaitu pekerja penghantaran makanan. 

Anggaran Waktu Membaca:
'Kami tahu bagaimana rasanya'; pemilik Melayu/Islam firma logistik sediakan ruang rehat bagi penghantar makanan

Bao Logistics menyediakan sebuah bilik di pejabatnya, di sebuah bangunan perindustrian di Yishun, untuk para penghantar makanan. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

Diterbitkan : 21 May 2021 12:48PM Dikemas Kini : 21 May 2021 12:52PM

SINGAPURA: Apabila sekatan menjamu selera di luar diumumkan baru-baru ini, para pemilik sebuah syarikat logistik memikirkan tentang sekumpulan individu yang akan terjejas - iaitu pekerja penghantaran makanan.

Encik Muhammad Adha dan Encik Muhammad Ikhbar, pemilik bersama Bao Logistics, menyedari bahawa para pekerja penghantaran itu akan memerlukan ruang untuk duduk semasa waktu rehat mereka.

Pemilik bersama Bao Logistics, Encik Muhammad Ikhbar dan Encik Muhammad Adha, pernah bekerja sebagai penghantar makanan sebelum ini. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

(Pemilik bersama Bao Logistics, Encik Muhammad Ikhbar dan Encik Muhammad Adha, pernah bekerja sebagai penghantar makanan sebelum ini. Gambar: Jalelah Abu Baker)

"Kami tahu bagaimana rasanya untuk menghantar pesanan setiap hari di bawah terik matahari... bermacam-macam jenis cuaca," kata Encik Adha.

Menjamu selera di cawangan-cawangan makanan dan minnuman (F&B) sebelum ini bermakna para pekerja penghantaran boleh berehat dan menikmati persekitaran, bukan sekadar makan sahaja, ungkap beliau.

Sebagai sebahagian daripada Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), menjamu selera di premis F&B digantung dari 16 Mei sehingga 13 Jun. Ini termasuk di pusat penjaja, medan selera baik di ruang terbuka mahupun tertutup.

Lantaran itu, Encik Adha dan Encik Ikhbar memutuskan untuk menyediakan sebuah ruang berhawa dingin yang tidak digunakan dalam kawasan premis firma mereka di sebuah bangunan perindustrian Yishun supaya para pekerja penghantaran makanan boleh mencari tempat untuk berehat dan makan. Mereka berpindah ke bangunan itu tiga minggu lalu.

"Kami ada satu ruang kosong jadi mengapa tidak?" kata Encik Adha.

Bagi menyediakan ruang itu, mereka menggunakan pita untuk menetapkan 'tempat letak kenderaan' bagi motosikal dan basikal elektrik di luar unit merek di aras tujuh bangunan tersebut.

Firma itu kemudian memuat naik satu pengumuman di lelaman Facebook syarikatnya untuk mengalu-alukan para pekerja penghantaran datang berehat dan duduk makan di ruang itu dari 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam setiap hari.

KINI ADA TEMPAT BEREHAT

Apabila Mediacorp mengunjungi premis itu pada Khamis (20 Mei) sekitar jam 4.00 petang, tiga pekerja penghantaran dilihat membuat tempat itu ibarat rumah sendiri tetapi tetap mematuhi jarak selamat antara satu sama lain dan kesemua mereka memakai pelitup muka.

Para pekerja penghantaran itu, yang merupakan sekumpulan rakan, memberitahu Mediacorp mereka ternampak catatan Facebook itu dan memutuskan untuk pergi berehat di sana.

Para penghantar makanan sedang beristirahat di sebuah ruang di pejabat Bao Logistics. Dari kiri ke kanan: Encik Muhammad Helmi, Encik Feddly Shah dan Encik Muhammad Hamizan. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

(Para penghantar makanan sedang beristirahat di sebuah ruang di pejabat Bao Logistics. Dari kiri ke kanan: Encik Muhammad Helmi, Encik Feddly Shah dan Encik Muhammad Hamizan. Gambar: Jalelah Abu Baker)

Dalam kalangan mereka adalah Encik Freddly Shah, 37 tahun yang bekerja sebagai pekerja penghantaran makanan selama lebih setahun.

"Kami amat terharu apabila mereka memikirkan tentang kami," ujar beliau.

Sebelum peraturan baru itu berkuat kuasa, mereka biasanya akan pergi berehat di kedai-kedai kopi.

Bagaimanapun dengan sekatan menjamu selera di luar, para pekerja penghantaran itu - yang kebanyakan daripada mereka menghantar pesanan di sekitar kawasan Yishun - berakhir di tepi jalan raya atau di luar kedai serbaneka untuk duduk makan.

Mereka juga masuk pusat beli-belah yang berhawa dingin untuk menyejukkan badan tetapi tempat-tempat duduk untuk orang awam yang disediakan tidak selalunya kosong, luah para pekerja penghantaran itu.

"Kadangkala kami duduk di tandas untuk berehat," tambah Encik Freddly.

Para pekerja penghantaran itu berkata kadangkala mereka terpaksa menunggu sejam atau dua jam sebelum pesanan makanan sedia diambil. Sementara menunggu, mereka sebelum ini dapat duduk di dalam cawangan makanan berkenaan untuk berehat seketika tetapi itu tidak boleh lagi dilakukan sekarang.

Encik Muhammad Hamizan, 31 tahun,yang menjadi orang pertama melihat catatan oleh Bao Logistics dan kemudian mengongsikannya dengan dua lagi kawannya, berkata ruang baru itu "khusus untuk pekerja penghantaran daripada duduk di luar pusat beli-belah".

Anggota-Anggota Parlimen (AP) juga berkongsi di Facebook tentang maklumat mengenai ruang-ruang di kawasan undi mereka yang boleh digunakan bersama oleh para pekerja penghantaran, pemandu teksi dan pemandu kereta sewa.

AP Baey Yam Keng (PAP-Tampines) berkata sebuah kawasan di kolong Blok 475 di pusat kejiranan Tampines N4 sudahpun diperuntukkan bagi mereka untuk berhenti berehat dan makan.

AP Tan Chuan Jin (PAP-Marine Parade) menulis di Facebooknya: "Kami sudah mengaturkan dewan-dewan sukan atau acara kami di Kelab Masyarakat Kampong Kembangan dan Kelab Masyarakat Kampong Ubi bagi para pekerja penghantaran makanan serta Duta Jarak Selamat kita untuk mempunyai ruang bagi mereka berehat dan makan."

Beliau menambah para pemandu teksi dan kereta sewa juga dialu-alukan untuk menggunakan ruang tersebut.

Rakan AP beliau, Encik Seah Kian Peng (PAP-Marine Parade), juga menulis di Facebooknya bahawa beliau sudahpun membuat aturan serupa di Kelab Masyarakat Braddell Heights.

"Sebuah tempat yang sesuai untuk makan dan berehat secukupnya adalah penting," ujarnya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan