Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Kami letih' tetapi 'semangat kekal tinggi': pasukan SCDF di Turki dalam operasi menyelamat mangsa gempa

Anggaran Waktu Membaca:
'Kami letih' tetapi 'semangat kekal tinggi': pasukan SCDF di Turki dalam operasi menyelamat mangsa gempa

Gambar: Facebook/Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF)

Diterbitkan : 13 Feb 2023 12:22AM Dikemas Kini : 13 Feb 2023 12:23AM
SINGAPURA: Para pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang terlibat dalam usaha menyelamat gempa bumi di Turki berasa "letih" tetapi "semangat mereka kekal tinggi".

Demikian menurut ketua kontinjen seramai 68 anggota itu pada Ahad (12 Feb).

"Pasukan pertama yang berada di tapak bencana bertugas tanpa henti selama 72 jam penuh," kata Kolonel (COL) Chew Keng Tok dalam satu temu ramah dengan media pada Ahad, sambil menambah mereka berjaya mengeluarkan dua mangsa yang masih bernyawa.

Pasukan pertama seramai 20 anggota itu tiba di selatan Turki pada Rabu (8 Feb), dan berjaya membantu perkhidmatan kecemasan tempatan unutk mengeluarkan seorang mangsa gempa pada petang hari yang sama.

Pasukan tersebut kemudian berjaya membantu menyelamatkan seorang lagi mangsa pada Khamis (9 Feb).

Bercakap dari bandar Adana di selatan Turki, Kolonel Chew berkata semangat pasukan tersebut kekal tinggi selepas operasi menyelamat tersebut.

Dengan ketibaan pasukan kedua terdiri daripada pegawai Operasi Lionheart (OLH) pada Jumaat (10 Feb), Kolonel Chew berkata pasukan itu kini dibahagikan untuk memastikan mereka mendapat masa rehat yang mencukupi sebelum dikerahkan ke tapak bencana.

Dua ahli psikologi turut menyertai kontinjen tersebut, kata SCDF, bagi mengawasi kesejahteraan mental pasukan-pasukan yang dikerahkan.

Ia merupakan kali pertama ahli psikologi menyertai kontinjen Operasi Lionheart.

Kolonel Chew menarik perhatian bahawa salah satu cabaran utama yang dihadapi pasukan tersebut adalah cuaca sejuk, apabila beliau ditanya mengenai rintangan yang perlu diatasi pasukan tersebut dari Singapura.

Beliau menambah bahawa suhu menjunam serendah 6 darjah Selsius pada siang hari dan ke paras 6 darjah Selsius di bawah sifar pada sebelah malam.

"Keupayaan pegawai-pegawai (kami) untuk beroperasi dalam keadaan sedemikian (juga) adalah cabaran yang besar," ujarnya.

LATIHAN "MENCUKUPI" UNTUK MENGHULURKAN BANTUAN

Kolonel Chew juga menyentuh bagaimana Kaedah Mencari dan Menyelamat Bandar (USAR) kekal tidak berubah sedang kontinjen bergerak dari satu misi ke misi lain.

SCDF menyediakan lima penjana kuasa mudah alih, serta 24 kotak pembawa pengangkutan yang mengandungi peralatan USAR (peralatan memotong / memecahkan / mengangkat / menstabilkan), bekalan perubatan, catuan dan khemah untuk dibawa ke Turki.
Bagi menyokong operasi USAR yang dipertingkatkan, mereka turut membawa peralatan mencari dan menyelamat tambahan, bekalan perubatan, dan peralatan komunikasi dan sokongan logistik.

Latihan yang dijalankan di Singapura "mencukupi" untuk menghulurkan bantuan kepada negara-negara yang terjejas gempa bumi.

MATLAMAT UTAMA MISI ADALAH UNTUK MENCARI MANGSA YANG MASIH HIDUP

Matlamat utama pasukan itu ialah untuk terus mencari mangsa yang masih bernyawa, kata Kolonel Chew.

Beliau malah, menambah bahawa terdapat banyak kerja yang telah dijalankan di pusat bandar, dengan usaha diselaraskan dengan pihak berkuasa Turki dan PBB.

Pasukan Singapura kini akan mula ditempatkan di luar pusat bandar "untuk terus melakukan penilaian dari segi mengesan mangsa yang masih bernyawa di bawah runtuhan bangunan".

Kol Chew berkata penduduk tempatan di negara itu bersikap mesra terhadap mereka dan badan antarabangsa lain yang membantu usaha menyelamat.

"Walaupun di tengah-tengah kesedihan, mereka sangat berani dan mereka adalah orang yang sangat kuat ... dan saya tabik kepada mereka."

Tambah beliau, pasukannya akan membantu pihak berkuasa tempatan selagi mereka diperlukan.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan