Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Kami ambil iktibar," kata CEO SIA berkait bekas makanan kertas, pembuka selera dalam penerbangan

Anggaran Waktu Membaca:
"Kami ambil iktibar," kata CEO SIA berkait bekas makanan kertas, pembuka selera dalam penerbangan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singapore Airlines Goh Choon Phong. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Ketua syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) akur bahawa mereka sepatutnya boleh melakukan lebih baik lagi dengan pelancaran bekas makanan kertas dan langkah menggugurkan pembuka selera daripada menu. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Goh Choon Phong pada Selasa (30 Mei) menyentuh tentang maklum balas daripada para pelanggan mengenai bekas makanan kertas untuk penerbangan kelas ekonomi, yang dilancarkan pada Mac untuk diuji sewaktu beberapa penerbangan jarak sederhana dan jauh. 

Syarikat penerbangan tersebut sejak itu membuat keputusan untuk tidak meneruskan dengan inisiatif berkenaan "buat masa ini" setelah menerima kritikan mengenai standard dan penampilan makanan mereka. 

Sewaktu menjelaskan pemikiran di sebalik bekas makanan kertas itu, Encik Goh memberitahu wartawan bahawa SIA boleh menghidangkan pelbagai "makanan kegemaran ramai" yang tidak boleh ditawarkan bagi penerbangan kelas ekonomi sebelum ini, seperti laksa dan mee siam, kerana bekas-bekas itu boleh mengekalkan kelembapan dan tahap panas makanan. Ini bermakna para pelanggan boleh menikmati makanan "dalam keadaan yang ia seharusnya dihidangkan". 

Pasukan pengurusan, tambahnya, juga mencuba makanan itu sebelum dilancarkan dan mendapati ia "agak sedap". 

"Namun, kami menerima maklum balas hebat daripada para pelanggan," katanya. 

"Kami mengambil iktibar. Ia bukan tentang sejauh mana sedap makanan yang dihidangkan, tetapi juga persepsi menggunakan bekas kertas bagi makanan dalam penerbangan". 

Apabila bekas itu diperkenalkan, sesetengah orang berkata, langkah itu membuat SIA kelihatan "murah" dan merupakan langkah mengurangkan kos operasi. 

Syarikat penerbangan itu menjelaskan bahawa bekas-bekas itu mempunyai kos lebih tinggi berbanding bekas plastik sekali guna. 

Encik Goh akur bahawa syarikat penerbangan itu seharusnya "memberi lebih perhatian" dan "lebih menyeluruh" semasa mempertimbangkan bagaimana bekas kertas itu akan diterima para pelanggan. 

"Kerana apabila kami mempertimbangkannya, kami benar-benar memikirkan untuk meluaskan kepelbagaian makanan dan menghidangkan makanan yang kami tidak pernah tawarkan sebelum ini. Jadi ia tentang meningkatkan tawaran kami kepada para pelanggan." 

SIA turut menggunakan bekas makanan kertas bagi penerbangan kelas ekonomi sewaktu penerbangan jarak dekat di bawah 3.5 jam. Ia dilancarkan pada 2020 dan akan diteruskan, meskipun dihentikan bagi penerbangan jarak sederhana dan jauh. 

SIA PATUT AMBIL TINDAKAN LEBIH PANTAS

Encik Goh pada Selasa turut memberitahu wartawan, SIA "sepatutnya mengambil tindakan lebih pantas" terhadap permintaan untuk kembali menghidangkan beberapa makanan, seperti pembuka selera dan roti, yang digugurkan daripada menu sewaktu pandemik. 

Beberapa makanan yang digugurkan daripada menu makanan sewaktu pandemik atas sebab operasi dan rantaian bekalan, serta mengurangkan siasa makanan, sudah kembali ditawarkan. Ini termasuk keju dan biskut, serta mufin untuk sarapan ala Barat.

Mulai Khamis (1 Jul), SIA akan kembali menawarkan pembuka selera bagi semua penerbangan kelas ekonomi jarak sederhana, jauh dan sangat jauh - iaitu mana-mana penerbangan yang mengambil masa 3.5 jam dan ke atas. Ini selain menyediakan roti, sajian utama, keju dan biskut, serta pencuci mulut. 

Selain itu, roti dan mentega akan ditawarkan bagi semua penerbangan kelas ekonomi jarak dekat, bersama dengan sajian utama dan pencuci mulut, mulai 1 Julai.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan