Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Kami akan meneruskan kelas agama, pembelajaran online': Mufti Dr Nazirudin

Lebih banyak bahan pembelajaran agama akan disediakan secara online berikutan arahan untuk menghentikan semua kegiatan masjid, kelas-kelas agama dan khidmat prasekolah di kesemua masjid setempat selama dua minggu mulai 13 Mac 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
'Kami akan meneruskan kelas agama, pembelajaran online': Mufti Dr Nazirudin

Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir.

SINGAPURA: Lebih banyak bahan pembelajaran agama akan disediakan secara online berikutan arahan untuk menghentikan semua kegiatan masjid, kelas-kelas agama dan khidmat prasekolah di kesemua masjid setempat selama dua minggu mulai 13 Mac 2020.

Memandangkan masjid merupakan pusat utama bagi kegiatan dan pembelajaran ilmu agama di sini, Pengarah Masjid MUIS, Encik Mohamad Helmy Isa akur keinginan rata-rata jemaah yang mahu ke masjid untuk mengikuti kelas-kelas agama di sana tetapi beliau memberi jaminan akan meningkatkan lagi usaha bagi menyediakan bahan-bahan pembelajaran secara online, lebih-lebih lagi dalam masa dua minggu ini.

"Sejak mulanya penularan wabak COVID-19, kami di majlis serta rakan-rakan kami di masjid sudah mula memikirkan bagaimana kita dapat meneruskan kehidupan dan juga keperluan masyarakat dalam pembelajaran agama sekiranya senario ini bertambah serius dan di antaranya ialah untuk memulakan usaha-usaha membawa kuliah-kuliah, syarahan-syarahan di masjid ke wadah online. Kami juga telah mendapatkan persetujuan beberapa asatizah terkemuka yang memang kelas dan programnya amat popular di masjid-masjid untuk membawa pembelajaran tersebut ke wadah online," kata Encik Helmy.

Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir juga merasakan penting untuk para asatizah agar dapat terus memainkan peranan dalam memberikan panduan dan bimbingan kepada masyarakat lebih-lebih lagi dalam mengharungi krisis COVID-19 ini.

"Kita juga akan meneruskan mesej-mesej agama, semua kelas-kelas agama melalui wadah dalam talian sebagai ganti kepada kelas-kelas yang diadakan di masjid kerana kita merasakan sangat penting untuk terus memberikan panduan, memberikan harapan dan juga meningkatkan daya tahan mereka di dalam menangani cabaran yang begitu getir seperti yang dialami masyarakat hari ini," kata Mufti Dr Nazirudin.

Di samping itu, beliau juga berharap masyarakat mengambil sikap positif terhadap pengumuman berkaitan penutupan sementara masjid dan pemberhentian kegiatan di masjid selama dua minggu itu.

"Saya harap masyarakat mempunyai satu pandangan yang positif dalam menghadapi cabaran walaupun bagaimana berat sekalipun dan terus berkeyakinan dengan agama dan Allah swt bahawa keihklasan dalam hati mereka untuk mendekatkan diri dengan masjid walaupun tidak dapat melakukannya buat masa ini. Insya-Allah diberikan peluang pada masa akan datang untuk melebihkan lagi dengan penuh erti dan penghayatan, kita datang dengan penuh penghargaan kepada nikmat yang diberikan untuk datang ke masjid," ujarnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan